
KUALA LUMPUR : Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengesan pelbagai bentuk pengubahsuaian ekstrem motosikal yang dilakukan segelintir penunggang tanpa mengambil kira risiko keselamatan terhadap diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Antara pengubahsuaian yang dikesan termasuk penggunaan tayar sotong, swing arm panjang, ekzos diubah suai, pertukaran enjin dan ECU termasuk membuang fungsi cut-off serta menanggalkan brek belakang.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, keadaan itu dapat dilihat apabila sebanyak 18,534 motosikal yang melakukan pelbagai kesalahan diambil tindakan dari Januari hingga 10 Ogos lalu menerusi 441 Op Ekstrem yang dilaksanakan di seluruh negara.
Menurutnya, sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 68,528 kenderaan diperiksa, dengan 30,846 Notis JPJ (P)22 dikeluarkan manakala 1,942 kenderaan disita.
Beliau berkata, angka berkenaan menunjukkan penguatkuasaan terhadap pengubahsuaian motosikal secara ekstrem terus dipergiat bagi memastikan kenderaan yang berada di jalan raya mematuhi spesifikasi ditetapkan serta tidak mengancam keselamatan pengguna lain.
“Pengubahsuaian kenderaan tanpa mematuhi spesifikasi ditetapkan bukan sahaja merupakan satu kesalahan, malah boleh meningkatkan risiko keselamatan pengguna jalan raya serta mengganggu ketenteraman awam,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat JPJ, Kuala Lumpur di sini hari ini.
Jelasnya, dalam operasi terbaru di sekitar Kuala Lumpur pada 8 dan 9 Ogos lalu, sebanyak 443 motosikal diperiksa dengan 376 motosikal diambil tindakan.
Katanya, sebanyak 1,093 notis dikeluarkan membabitkan 953 Notis JPJ (P)22 dan 140 Notis 64, manakala 140 motosikal disita untuk tindakan lanjut.
Jelasnya, operasi itu turut merekodkan 457 kesalahan teknikal, antaranya pengubahsuaian tanpa kelulusan membabitkan sistem brek dan tayar, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insurans serta kesalahan berkaitan lesen memandu.-UTUSAN
The post 18,534 motosikal diubah suai secara ekstrem diambil tindakan appeared first on Utusan Malaysia.






![[VIDEO] Kurang 10 saat, pemandu kelisa, penunggang motor selisih maut](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/08/POKOK-TUMBANG-TULAR-VIRAL-2-1024x689.jpeg)