18 petisyen gulung tikar sejak 2025, anak syarikat AZRB mohon perlindungan mahkamah

Business & Finance
2 Sep 2026 • 1:08 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

18 petisyen gulung tikar sejak 2025, anak syarikat AZRB mohon perlindungan mahkamah Image from: 18 petisyen gulung tikar sejak 2025, anak syarikat AZRB mohon perlindungan mahkamah johardy02/09/2026 - 13:08 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 2 Sept - Ahmad Zaki Resources Bhd (AZRB) berkata anak syarikat milik penuhnya, Ahmad Zaki Sdn Bhd (AZSB), telah memohon perintah sekatan daripada Mahkamah Tinggi bagi membolehkannya menyusun semula obligasi dengan pemiutang, sekali gus memberi perlindungan sementara daripada tindakan undang-undang.

 

AZSB memfailkan permohonan itu di Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur pada 28 Ogos, menurut pemakluman Ahmad Zaki Resources Berhad kepada Bursa Malaysia pada 1 September.

 

Permohonan itu dibuat bagi membolehkan AZSB merangka dan mencadangkan suatu kompromi atau pengaturan dengan pemiutangnya menerusi skim pengaturan yang akan dikemukakan untuk pertimbangan mereka.

 

AZRB berkata perintah sekatan itu bertujuan memberi perlindungan kepada AZSB daripada prosiding atau tindakan undang-undang oleh pemiutang sementara anak syarikat berkenaan dan kumpulan merangka, merunding serta melaksanakan pelan penstrukturan tersebut secara teratur.

 

Menurut syarikat itu, langkah berkenaan juga bertujuan mengekalkan keadaan sedia ada dan meminimumkan potensi gangguan terhadap operasi AZSB serta kumpulan akibat tindakan pemiutang.

 

Moratorium automatik

Di bawah Seksyen 368(1A) Akta Syarikat 2016, pemfailan permohonan itu mencetuskan moratorium secara automatik sehingga mahkamah membuat keputusan mengenai perintah sekatan atau selama dua bulan dari tarikh pemfailan, mengikut mana yang lebih awal.

 

AZRB berkata moratorium itu boleh berkuat kuasa sehingga 27 Oktober 2026 sekiranya mahkamah belum membuat keputusan sebelum tarikh berkenaan.

 

Sepanjang tempoh itu, tindakan termasuk petisyen gulung tikar, prosiding undang-undang, pelaksanaan terhadap harta dan penguatkuasaan sekuriti terhadap AZSB secara amnya tidak boleh dimulakan atau diteruskan tanpa kebenaran mahkamah.

 

18 petisyen sejak 2025

Langkah penstrukturan semula itu dibuat selepas AZRB dan kumpulannya berdepan sekurang-kurangnya 18 petisyen gulung tikar sejak 2025, berdasarkan semakan DagangNews terhadap pemakluman syarikat.

 

Petisyen terbaharu difailkan pada 19 Ogos, membabitkan jumlah tertunggak yang didakwa sebanyak RM5.93 juta.

 

AZRB berkata AZSB tidak diklasifikasikan sebagai anak syarikat utama kumpulan.

 

ARTIKEL BERKAITAN: 18 petisyen gulung tikar sejak 2025, AZRB terkena ‘badi’ EKVE?
 

AZRB berkata moratorium itu dijangka tidak memberi kesan kewangan dan operasi material yang buruk terhadap kumpulan kerana ia tidak menghalang kumpulan daripada meneruskan perniagaan serta operasi harian seperti biasa.

 

 

 

 

 

 

Menurut syarikat itu, perlindungan berkenaan juga akan membantu mengurangkan potensi gangguan terhadap operasi kumpulan akibat prosiding undang-undang sementara pelan penstrukturan dan permohonan perintah sekatan dimuktamadkan serta dipertimbangkan.

 

AZRB berkata pihaknya akan membuat pengumuman lanjut mengenai perkembangan perkara tersebut dari semasa ke semasa. - DagangNews.com

Terkini featured standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved