
HULU SELANGOR – Sebanyak 536 kenderaan pelbagai jenis melibatkan kira-kira 18 varian yang ditempah untuk kegunaan Tentera Darat Malaysia (TDM) akan mula diserahkan secara berperingkat bermula hujung bulan ini sehingga akhir 2028.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kesemua kenderaan itu kini dalam proses pembuatan oleh syarikat tempatan, High Point Worldwide Sdn. Bhd. (HPWW).
Beliau berkata, pemberian kontrak kerajaan kepada syarikat tempatan bukan hanya dinilai berdasarkan kemampuan menyiapkan dan menyerahkan aset, sebaliknya sumbangannya dalam membangunkan ekosistem industri pertahanan negara turut diberi perhatian.
“Bagi syarikat ini, kita berterima kasih kerana ketika ini daripada jumlah pekerjanya, seramai 15 peratus terdiri daripada veteran.
“Kita akan lihat juga kepada mana-mana syarikat lain yang mendapat kontrak daripada kementerian supaya mereka ambil tanggungjawab untuk memberi dan menyediakan peluang kerja kepada veteran-veteran Angkatan Tentera,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan ke syarikat pertahanan tempatan, High Point Worldwide di sini hari ini.
Sebelum ini, lawatan tersebut diadakan bagi meninjau keupayaan syarikat dalam menyokong keperluan pertahanan negara sekali gus mendukung aspirasi Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN).
Bersempena lawatan tersebut, Mohamed Khaled turut menyempurnakan penamaan rasmi Kenderaan Trak 3 Tan GS Kargo buatan HPWW yang kini dikenali sebagai RENTAS.
Pada masa sama, beliau berkata, kementerian menyambut baik usaha HPWW membangunkan dua jenis casis tempatan yang boleh digunakan bagi kenderaan pertahanan sekiranya memenuhi spesifikasi ditetapkan TDM.
Mohamed Khaled berkata, sekiranya casis terbabit melepasi ujian dan spesifikasi ditetapkan, ia berpotensi menjadi asas kepada kenderaan lain yang diperoleh pada masa depan selain membantu mengurangkan kos.
“Kita ingin menetapkan sekurang-kurangnya 30 peratus setiap aset yang kita beli itu mestilah terdiri daripada komponen tempatan.
“Dalam kenderaan darat, casis sebenarnya bersamaan dengan 30 peratus komponen dalam sesebuah kenderaan. Jadi kita menyambut baik usaha syarikat untuk membangunkan casis tempatan,” katanya.
Beliau turut memaklumkan dua jenis casis berkenaan dijangka siap masing-masing pada April dan Oktober untuk melalui proses penilaian.
Selain pembangunan casis, kementerian turut mahu syarikat pertahanan membangunkan rangkaian vendor tempatan bagi membekalkan komponen seperti lampu, tayar dan komponen kecil lain.
“Kalau dulu kita bagi kontrak, itu sahaja, kita tunggu bila kenderaan sampai. Tetapi hari ini bila kita bagi kontrak, kita nak lihat semua nilai-nilai tambah ini dapat dijayakan kerana ia penting untuk industri pertahanan tempatan negara,” katanya.
Sebanyak 11 jenis kenderaan atau aset pelbagai varian turut dipamerkan termasuk TEDUNG, High Mobility Reconnaissance Vehicle (HMRV) KALA, RENTAS, Kenderaan 7 Tan GS Kargo, Kenderaan 10 Tan GS Kargo, Domestic Fire Truck, Tactical Boat Carrier dan kenderaan Pembawa Kuda.– KOSMO! ONLINE
The post 536 kenderaan tentera 18 varian mula diserah hujung bulan ini appeared first on Kosmo Online.





