
KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket penipuan dalam talian yang menyamar sebagai anggota polis Hong Kong selepas menyerbu dua unit kediaman di St Mary Residence, Jalan Tengah, di sini, kelmarin.
Serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersil, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi itu membawa kepada penahanan 18 warga Taiwan terdiri daripada 17 lelaki dan seorang wanita berusia antara 19 hingga 43 tahun.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Ahmad Azwan Amin Nordin berkata serbuan dilakukan kira-kira pukul 6.36 petang hasil risikan berkaitan kegiatan pusat panggilan (calling centre) penipuan dalam talian.
Menurutnya, dalam serbuan itu, polis turut merampas 69 telefon bimbit, lima komputer riba serta dua helai baju seragam polis Hong Kong.
“Berdasarkan barang kes yang ditemukan, sindiket ini disyaki terlibat dalam aktiviti penipuan dengan menyamar sebagai polis dari Hong Kong dan menyasarkan mangsa di negara berkenaan.
“Sindiket ini menggunakan capaian internet untuk menjalankan aktiviti penipuan secara dalam talian dan dipercayai telah beroperasi selama kira-kira lima bulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Azwan berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bermula semalam sehingga 2 November ini bagi membantu siasatan.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan.
Dalam pada itu, polis menyeru orang ramai menyalurkan maklumat berhubung sebarang kegiatan menyalahi undang-undang kepada IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau mana-mana balai polis berhampiran. – KOSMO! ONLINE
The post 18 warga Taiwan ditahan, sindiket menyamar polis Hong Kong tumpas appeared first on Kosmo Online.






