
JOHOR BAHRU – Seorang wanita warga tempatan mengalami kerugian RM486,000 selepas diperdaya individu yang menyamar sebagai majikannya dalam satu sindiket penipuan kewangan, kelmarin.
Mangsa berusia 35 tahun itu membuat laporan polis pada semalam selepas menyedari dirinya menjadi sasaran penipuan berkenaan.
Pemangku Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Superintendan Azrol Anuar Nor berkata, kejadian bermula kira-kira pukul 10 pagi apabila mangsa menerima pesanan ringkas daripada nombor telefon individu yang menyamar sebagai majikannya.
Katanya, suspek kemudian mengarahkan mangsa memindahkan wang syarikat berjumlah RM486,000 ke akaun bank miliknya.
“Wang tersebut kononnya diperlukan bagi tujuan pembayaran kontrak baharu syarikat.
“Mangsa hanya menyedari dirinya ditipu apabila suspek sekali lagi meminta transaksi tambahan dengan jumlah sama atas alasan berbeza.
“Berasa curiga, mangsa cuba menghubungi majikannya menerusi panggilan WhatsApp bagi mendapatkan pengesahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Bagaimanapun, panggilan tersebut tidak mendapat maklum balas sebelum mangsa mendapati nombor telefon majikannya telah digodam.
Menurut Azrol Anuar, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
“Orang ramai juga dinasihatkan menyemak kesahihan penerima dan akaun bank melalui portal Semak Mule di semakmule.rmp.gov.my sebelum melakukan sebarang transaksi.
“Jika mengesyaki menjadi mangsa penipuan, orang ramai diminta segera menghubungi polis atau Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) menerusi talian 997,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Wanita rugi RM486,000 diperdaya scammer menyamar majikan appeared first on Kosmo Online.






