CYBERJAYA – [DIKEMAS KINI] Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) masih mengesan 19 warga asing yang dikaitkan dengan Network School selepas gagal mengesan pergerakan mereka sama ada masih berada di Malaysia atau telah meninggalkan negara ini secara tidak sah.
Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Zakaria Shaaban berkata, daripada 430 warga asing yang dikenal pasti terlibat dalam aktiviti Network School, seramai 210 orang masih berada di Malaysia, manakala 201 lagi telah dikesan keluar dari negara ini.
"Daripada jumlah itu, kita ada 19 orang yang tidak dapat dikesan pergerakannya. Mungkin mereka keluar secara tidak sah ataupun mereka juga masuk secara tidak sah.
"Perkara itu akan disiasat lanjut. Kita akan kesan sama ada mereka masih berada dalam negara ataupun sudah keluar," katanya pada sidang media selepas Sambutan Hari Imigresen Ke-104 di sini pada Selasa.
Sebelum ini, tular dakwaan kononnya terdapat warga Israel menyertai program dikenali sebagai Network School di Forest City, Iskandar Puteri, Johor dengan menggunakan pasport negara kedua untuk memasuki Malaysia.
Ia mendorong Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengarahkan siasatan menyeluruh dijalankan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan agensi berkaitan bagi mengesahkan kesahihan dakwaan berkenaan.
Susulan itu, JIM menjalankan pemeriksaan terhadap 266 warga asing dari 40 negara di Forest City dan semakan awal mendapati kesemua individu yang diperiksa memiliki dokumen imigresen yang sah berdasarkan rekod semasa, namun siasatan lanjut diteruskan bagi memastikan pematuhan sepenuhnya terhadap Akta Imigresen 1959/63 serta undang-undang berkaitan.
Dalam pada itu, Zakaria memaklumkan, JIM telah melaksanakan dua pemeriksaan imigresen di lokasi berkaitan dengan kerjasama agensi penguat kuasa lain, kerajaan negeri serta pihak berkuasa tempatan.
Bagaimanapun, katanya, hasil pemeriksaan setakat ini tidak menemukan perkara seperti yang didakwa berhubung operasi Network School.
"Sehingga kini, dua kali pemeriksaan imigresen yang kita laksanakan, kita tidak menjumpai apa yang didakwa," katanya.
Jelasnya, sepanjang pemeriksaan itu, seramai 379 warga asing telah diperiksa bagi memastikan pematuhan terhadap peraturan imigresen.
Mengulas dakwaan terdapat individu menggunakan dua pasport, beliau berkata, setakat ini JIM tidak mengesan sebarang kes sedemikian membabitkan warga asing yang diperiksa.
Menurutnya, semua individu berkenaan menggunakan pasport yang sah dan sistem imigresen hanya dapat mengesan sekiranya seseorang menggunakan pasport berlainan ketika keluar masuk negara.
"Kalau seseorang itu secara konsisten menggunakan satu pasport yang sama, sistem kita tidak dapat mengesan sama ada dia memiliki pasport lain namun, jika dia masuk menggunakan satu pasport dan keluar menggunakan pasport berbeza, sistem biometrik imigresen akan mengesannya secara automatik," katanya.





