
NABAWAN: Sebanyak 19 kampung di sini dilaporkan dilanda banjir kilat setakat jam 3 petang Jumaat, berikutan hujan lebat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nabawan Datuk Abdul Ghani Mohamed Yassin berkata, jumlah ini berdasarkan rekod daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD).
Bagaimanapun, katanya, jumlah tersebut dijangka akan bertambah memandang laporan yang diterima belum terperinci.
Katanya, bantuan awal seperti makan minum diberikan kepada mereka yang telah dipindahkan di pusat pemindahan sementara (PPS) dan diatur melalui JPBD, yang diselaraskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah.
Ghani, yang juga Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah (LKTNS), berkata demikian selepas memantau keadaan banjir di beberapa kampung dan PPS Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, pada petang Jumaat.
Pada masa sama, beliau meminta JPBD yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Nabawan Ts Marshal Anthony @ Idham, memastikan setiap ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir mendaftar di setiap PPS yang dibuka.
Ini, katanya, supaya mereka tidak tercicir daripada bantuan yang disediakan oleh kerajaan.
Terdahulu, Ghani menghadiri mesyuarat tindakan bencana yang diadakan bersama agensi berkaitan, bagi memastikan penyaluran bantuan kepada penduduk terjejas banjir segera dilaksanakan.
Sementara itu, Marshal berkata, setakat petang Jumaat JPBD telah membuka empat PPS sebaik pengisytiharan bencana di daerah ini seawal jam 5.30 pagi Jumaat.
Marshal berkata, PPS diaktifkan adalah di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Nabawan, Dewan Komuniti Kampung Bahagia, Balai Budaya Kabangawong dan Sarikan.
Katanya, bilangan KIR dan jumlah mangsa yang terlibat masih dalam proses pendaftaran dan akan dikemaskinikan dari semasa ke semasa.
Pada masa sama, Marshal memberitahu, berikutan banjir kilat itu, lima jalan tidak boleh dilalui iaitu Jalan 38 di Jambatan Sungai Binuowu, Asrama Butitin, Jalan Roundbout masuk ke Pekan Nabawan, Jalan ke Klinik Kesihatan Nabawan dan Kampung Kalas.
Berikutan banjir itu, empat sekolah turut terjejas banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Enam, SK Kampung Bahagia, SK Pekan Nabawan dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Nabawan.

