19 projek pelaburan domestik bernilai RM279.1 juta diluluskan di Segamat 

LocalBusiness & Finance
16 Oct 2026 • 8:36 AM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: 19 projek pelaburan domestik bernilai RM279.1 juta diluluskan di Segamat 

KUALA LUMPUR: Sebanyak 19 projek pelaburan domestik bernilai RM279.1 juta diluluskan di Daerah Segamat, Johor, meliputi kawasan Buluh Kasap, Chaah, Jementah, Bandar Segamat dan Labis.

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) memaklumkan projek berkenaan berpotensi mewujudkan 680 peluang pekerjaan baharu.

“Bagi kawasan Parlimen Sekijang yang merangkumi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pemanis dan Kemelah, sebanyak 17 projek pelaburan bernilai RM239.4 juta diluluskan dalam tempoh yang sama.

“Projek di Sekijang itu berpotensi mewujudkan 612 peluang pekerjaan baharu,” menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen hari ini.

MITI memaklumkan projek pelaburan yang diluluskan di Daerah Segamat dan Parlimen Sekijang melibatkan pelbagai sektor, termasuk produk makanan, produk berasaskan kayu, fabrikasi logam dan industri sokongan.

Kenyataan itu bagi menjawab pertanyaan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai jumlah dan jenis pelaburan yang diluluskan serta direalisasikan di Daerah Segamat, khususnya di Parlimen Sekijang, termasuk nilai pelaburan, sektor terlibat, peluang pekerjaan yang diwujudkan serta perancangan kerajaan untuk menarik lebih banyak pelaburan bagi merancakkan ekonomi setempat.

Dari segi realisasi pelaburan, MITI memaklumkan projek yang diluluskan di Daerah Segamat dan Parlimen Sekijang kini berada pada pelbagai peringkat pelaksanaan, termasuk yang telah beroperasi, sedang dalam pembinaan serta dalam proses pemasangan mesin dan peralatan.

“Dalam usaha merancakkan aktiviti ekonomi dan menarik lebih banyak pelaburan ke Daerah Segamat, termasuk Parlimen Sekijang, MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) akan terus bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Johor, Invest Johor, pihak berkuasa tempatan, agensi teknikal serta pemaju kawasan perindustrian,” menurut MITI.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved