sarah15/10/2026 - 09:30 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt - Sebanyak 27 projek pusat data dengan anggaran nilai pelaburan RM225.97 bilion diluluskan di bawah Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) sejak penubuhannya pada Februari 2025 hingga Julai 2026, dengan potensi mewujudkan 4,053 peluang pekerjaan.
Daripada jumlah itu, sebanyak 3,523 pekerjaan melibatkan jawatan berkemahiran tinggi dalam bidang kejuruteraan elektrik dan mekanikal, rangkaian, keselamatan siber serta operasi dan penyelenggaraan pusat data.
Kerajaan menjangkakan 89.21% daripada jawatan berkemahiran tinggi berkenaan akan diisi oleh rakyat Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada tenaga kerja tempatan untuk merebut peluang dalam industri digital bernilai tinggi.
Dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) di Dewan Rakyat, Kementerian Digital berkata, daripada 27 projek yang diluluskan di bawah DCTF, hanya satu pusat data telah mula beroperasi, manakala 26 lagi masih dalam pembinaan.
Secara keseluruhan, sebanyak 84 projek pusat data telah diluluskan di Malaysia sehingga Julai 2026.
Johor mencatatkan jumlah projek tertinggi di bawah DCTF dengan 16 pusat data, diikuti Selangor sebanyak 10 projek dan Negeri Sembilan dengan satu projek.
Bagi memastikan pelaburan berkenaan turut memberi manfaat kepada syarikat tempatan, projek yang diluluskan di bawah DCTF tertakluk kepada syarat minimum 30% kandungan tempatan.
Kementerian berkata, pelaksanaan syarat itu dipantau oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) melalui Laporan Pelaksanaan Projek Pusat Data yang perlu dikemukakan setiap enam bulan.
Pembangunan pusat data juga berpotensi merangsang pertumbuhan ekosistem digital dan rantaian bekalan tempatan, termasuk membuka peluang penyertaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS).
Bagi memperkukuh pembangunan bakat dan pemindahan teknologi, Talent Corporation Malaysia (TalentCorp) sedang merangka Program Pengurusan Kemudahan Pusat Data untuk melatih peserta tempatan dalam kemahiran operasi dan penyelenggaraan pusat data.
Pengendali pusat data turut digalakkan memperluas kerjasama dengan institusi pendidikan dan latihan melalui program latihan industri serta pembangunan pembekal tempatan bagi meningkatkan kepakaran dan keupayaan syarikat Malaysia menyertai rantaian nilai industri itu.
Kerajaan akan terus memantau pelaksanaan projek berkenaan bagi memastikan pelaburan yang diluluskan menghasilkan manfaat ekonomi yang nyata kepada rakyat, khususnya melalui penciptaan pekerjaan berkualiti, penglibatan syarikat tempatan serta pembangunan bakat dan pemindahan teknologi. - DagangNews.com






