197 pekerja asing ditahan dalam serbuan kilang bateri, gudang penyimpanan

LocalPolitics
9 Sep 2026 • 8:30 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

197 pekerja asing ditahan dalam serbuan kilang bateri, gudang penyimpanan

PELABUHAN KLANG, 9 SEPT: Jabatan Imigresen (JIM) Selangor menahan 197 pekerja asing pelbagai warganegara dalam serbuan di kilang bateri motosikal dan gudang penyimpanan dekat sini hari ini.

Timbalan Pengarah JIM Selangor Mohmad Khusairi Kamarudin berkata operasi yang bermula jam 9 pagi itu menyasarkan premis perniagaan di Kawasan Perindustrian Pulau Indah dan Kawasan Perindustrian Bandar Sultan Suleiman berdasarkan hasil risikan sejak dua minggu lalu.

“Sejumlah 210 orang diperiksa yang membawa kepada penahanan 197 pendatang tanpa izin berusia antara 20 hingga 45 tahun atas pelbagai jenis kesalahan imigresen.

“Tangkapan terdiri daripada 147 lelaki dan 50 wanita melibatkan warga Myanmar (72 lelaki, 30 wanita), India (58 lelaki, 19 wanita), Bangladesh (sembilan lelaki), Sri Lanka (empat lelaki), Pakistan (tiga lelaki), seorang lelaki warganegara lain serta seorang wanita warga Indonesia," katanya selepas menyertai operasi berkenaan, di sini.

Beliau berkata majoriti warga asing yang ditahan dipercayai bekerja sebagai pembantu serta pekerja am yang melakukan pelbagai kesalahan antaranya tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa mengikut Akta Imigresen 1959/63.

Dalam pada itu, Mohmad Khusairi berkata pihaknya turut mengeluarkan tiga saman melalui Borang 29 kepada rakyat tempatan yang terlibat bagi membantu siasatan.

Mengulas mengenai tangkapan pemegang kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) terutamanya warga Myanmar, beliau berkata penahanan itu dibuat ekoran status mereka tidak dibenarkan bekerja secara sah di bawah peraturan sedia ada.

Sehubungan dengan itu, beliau berkata setiap majikan perlu menggaji pekerja yang sah, memohon mengikut saluran yang betul dan memastikan pekerja berkenaan tidak ditukarkan tempat kerja lain tanpa kebenaran.

Kesemua yang ditahan ditempatkan di Depoh Imigresen Semenyih untuk siasatan lanjut.

Terdahulu, Mohmad Khusairi turut menyertai operasi berkenaan bersama 62 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi, terdiri daripada 50 anggota JIM, enam pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan dua pegawai Jabatan Tenaga Kerja (JTK).

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved