
KLANG – Tindakan seorang wanita warga Myanmar menggunakan kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) sebagai ‘lesen’ untuk bekerja memakan diri apabila dia ditahan dalam serbuan di sebuah kilang bateri di Pulau Indah di sini hari ini.
Wanita dikenali sebagai Ting-Ting, 28, berkata dia baru sebulan bekerja di kilang berkenaan dengan menerima upah RM80 sehari.
Menurutnya, dia mendapat pekerjaan itu selepas dibantu seorang rakan yang memaklumkan mengenai kekosongan di kilang berkenaan.
“Majikan bayar saya RM80 sehari. Saya bekerja setiap hari tetapi boleh bercuti bila-bila masa.
“Bagaimanapun, gaji akan dipotong jika saya bercuti. Jadi, untuk elak gaji dipotong, saya bekerja setiap hari,” katanya ketika ditemui dalam serbuan itu.
Ting-Ting merupakan antara 197 warga asing yang ditahan dalam operasi Jabatan Imigresen Selangor bermula pukul 10.30 pagi.
Lebih mengejutkan, wanita itu mendakwa sudah berada di negara ini sejak 10 tahun lalu dan menyara hidup dengan bekerja di beberapa kedai sekitar Kuala Lumpur sebelum mendapat pekerjaan di kilang berkenaan.
“Tugas saya di kilang ini hanya memasang komponen bateri motosikal. Separuh daripada gaji yang diperoleh saya kirim kepada keluarga di Myanmar,” katanya.
Untuk rekod, kad UNHCR bukan permit kerja, lesen penggajian atau pasport yang membenarkan pemegangnya bekerja secara sah di Malaysia.
Operasi berkenaan turut menyaksikan sejumlah besar warga asing ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan imigresen. – KOSMO! ONLINE
The post Guna kad UNHCR untuk upah RM80 sehari appeared first on Kosmo Online.






