
KLANG – Cubaan seorang pengawal keselamatan warga Myanmar meloloskan diri dalam serbuan Imigresen bukan sahaja gagal malah cedera di kepala selepas terjatuh ketika memanjat pagar sebuah kilang membuat bateri motosikal di Pulau Indah, di sini, hari ini.
Dalam serbuan bermula pukul 10.30 pagi, lelaki berusia 30-an itu kemudiannya dirawat Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Tindakan lelaki terbabit antara gelagat yang disaksikan wartawan Kosmo! yang mengikuti operasi bersepadu Jabatan Imigresen Selangor di dua premis di daerah ini.
Timbalan Pengarah Imigresen Negeri Selangor (Kawalan), Mohmad Khusairi Kamarudin berkata, seramai 197 warga asing ditahan keseluruhannya termasuk di gudang penyimpanan pelbagai barangan termasuk elektrik.
Katanya, antara ditahan merangkumi 100 warga
Myanmar, India (76 orang), China (14), Bangladesh (9), Sri Lanka (4), Pakistan (3), Myanmar (2).
“Kesemua yang ditahan berusia 25 hingga 45 tahun itu didapati tiada dokumen pengenalan diri, melanggar syarat pas dan tinggal lebih masa di negara ini,” katanya ketika ditemui di lokasi serbuan di sini, hari ini.
Menurut beliau, serbuan itu dilakukan selepas pihaknya menjalankan risikan selama dua minggu terhadap kedua-dua premis terbabit.
Katanya, selain menahan warga asing, pihaknya turut mengeluarkan tiga borang saman kepada saksi warga tempatan bagi membantu siasatan.
“Kesemua yang ditahan dibawa ke Depoh Tahanan Imigresen Semenyih untuk tindakan lanjut dan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63.
“Majikan diingatkan supaya hanya menggajikan warga asing yang sah serta tidak sewenang-wenangnya memindahkan pekerja dari satu premis ke premis lain tanpa kebenaran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post Pengawal Myanmar cedera kepala jatuh pagar lari serbuan appeared first on Kosmo Online.






