1MDB: Lapan lagi lukisan bernilai tinggi dijangka dibawa pulang tahun ini

LocalPolitics
6 May 2026 • 12:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 1MDB: Lapan lagi lukisan bernilai tinggi dijangka dibawa pulang tahun ini
Azam menunjukkan empat lukisan bernilai tinggi yang berjaya dibawa pulang SPRM.
Image from: 1MDB: Lapan lagi lukisan bernilai tinggi dijangka dibawa pulang tahun ini
Azam (dua dari kanan) bersalaman dengan wakil diplomat Amerika Syarikat semasa sidang media di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada Rabu.
Image from: 1MDB: Lapan lagi lukisan bernilai tinggi dijangka dibawa pulang tahun ini
Empat lukisan yang dikaitkan skandal 1MDB berjaya dibawa pulang dan ditempatkan sementara di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

PUTRAJAYA - Lapan lagi karya seni bernilai kira-kira RM120.9 juta yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah dikenal pasti untuk dibawa pulang ke negara ini tahun ini.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, secara keseluruhan, SPRM telah mengenal pasti sebanyak 12 karya seni untuk dibawa pulang.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, empat telah berjaya dipulangkan, manakala lapan lagi kini berada dalam pelbagai peringkat pemulihan.

"Karya seni yang masih dalam proses untuk dibawa pulang ialah Henri Matisse bernilai AS$52,500, Alexander Calder (AS$125,000), Pablo Picasso (AS$1.265 juta), William H Bailey (AS$66,250), Raoul Dufy (AS$40,000), Salvador Dalí (nilai masih dalam pengesahan) dan Gustave Loiseau (nilai masih dalam pengesahan).

"Secara keseluruhan, nilai lukisan yang masih dalam proses pemulihan dianggarkan sekitar AS$1.7 juta, bersamaan kira-kira RM6.9 juta," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya di sini pada Rabu.

**media[3512079]**

Azam berkata, SPRM juga sedang giat berusaha mendapatkan semula hasil jualan sebuah lukisan oleh Claude Monet bertajuk Vétheuil au Soleil yang dijual di Switzerland pada harga kira-kira EUR25.2 juta atau sekitar RM114 juta.

Katanya, dana tersebut kini berada di bawah proses penyitaan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.

"Usaha pemulihan sedang dijalankan melalui saluran perundangan serta kerjasama dengan pihak berkuasa di Amerika Syarikat dan Switzerland," ujarnya.

Beliau berkata, pada 14 April lalu, SPRM berjaya membawa pulang empat karya seni antarabangsa yang sebelum ini diperoleh menggunakan dana 1MDB melalui rumah lelong Sotheby’s di New York.

"Karya-karya seni ini dijejaki melalui transaksi di rumah lelong terkenal dunia seperti Christie’s serta Sotheby’s di New York dan berjaya diperoleh semula melalui proses perundangan serta kerjasama strategik antarabangsa yang melibatkan agensi seperti Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (USDOJ).

"Karya seni ini tidak dirampas secara fizikal, sebaliknya diserahkan melalui proses sah di sisi undang-undang, termasuk pelaksanaan Surat Kuasa Wakil (Power of Attorney - POA) oleh USDOJ kepada SPRM melalui Jabatan Peguam Negara," katanya.

**media[3512080]**

Beliau berkata, pendekatan pemulihan aset itu membuktikan ia dilaksanakan secara teliti melalui proses perundangan dan diplomatik.

Mengulas empat karya lukisan bernilai tinggi bernilai kira-kira RM786,556 yang berjaya dibawa pulang, Azam berkata, keempat-empat lukisan itu ditempatkan sementara di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dengan kerjasama Balai Seni Negara.

"Karya-karya seni ini akan diserahkan kepada Balai Seni Negara dalam masa terdekat.

"Lukisan ini terdiri daripada karya oleh Joan Miró bertajuk Composition (1953) (AS$93,750), Maurice Utrillo bertajuk Maison de rendez-vous, rue Saint-Rustique, Montmartre (1934) (AS$50,000), Balthus bertajuk Étude pour femme couchée (1948) (AS$28,125) dan Pablo Picasso bertajuk L’Ecuyère et les clowns (1961) (AS$26,250).

"Lukisan-lukisan ini melalui proses pengangkutan yang ketat dan teratur, bermula di New York pada 8 April 2026 dan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 10 April 2026," ujarnya.

Azam berkata, lukisan itu kemudian dibawa ke Ibu Pejabat SPRM di bawah kawalan keselamatan tahap tinggi, melibatkan pelbagai agensi termasuk Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Balai Seni Negara serta kakitangan logistik.

"Di SPRM, lukisan-lukisan tersebut melalui prosedur pembungkusan semula, pengesahan ketulenan serta kawalan suhu dan pencahayaan bagi memastikan pemeliharaan mengikut piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Balai Seni Negara," katanya.

View Original Article