2,000 penduduk Chuchoh Puteri A nikmati air bersih selepas tiga dekad

15 Aug 2026 • 3:45 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: 2,000 penduduk Chuchoh Puteri A nikmati air bersih selepas tiga dekad

Lebih 2,000 penduduk Kampung Chuchoh Puteri A kini menikmati air bersih selepas 30 tahun, hasil program CZR Zurich Takaful & Islamic Aid Malaysia.

KUALA KRAI: Lebih 2,000 penduduk Kampung Chuchoh Puteri A, di sini kini menikmati bekalan air bersih selepas lebih tiga dekad bergantung pada sistem bekalan air graviti yang bersumberkan anak sungai berhampiran untuk kegunaan harian, pertanian dan penternakan.

Program air bersih sumbangan Zurich Takaful menerusi tanggungjawab zakat korporat (CZR) itu melibatkan penambahbaikan struktur sistem bekalan air, penggantian paip lama yang rosak, dan pemasangan dua unit tangki berkapasiti 5,000 gelen.

Pengerusi Zurich General Takaful Malaysia Berhad (Zurich Takaful) Datuk Wan Mohd Fadzmi Che Wan Othman Fadzilah berkata program air bersih di kampung berkenaan dilaksanakan bagi membantu komuniti yang sekian lama berdepan dengan masalah mendapatkan bekalan air bersih.

“Sebagai penyedia perlindungan takaful, kami berbesar hati dapat menyalurkan sumbangan wakalah zakat melalui inisiatif yang memberikan manfaat nyata dan berpanjangan.

Kami berharap kemudahan ini dapat memperkukuh kesejahteraan penduduk di sini,” katanya pada Majlis Perasmian dan Penyerahan Program Air Bersih Kampung Chuchoh Puteri A, di sini hari ini.

Sementara itu, Penghulu Mukim Chuchoh Puteri, Zakri Zakaria berkata pertambahan penduduk dan pembinaan rumah baharu menyebabkan sistem berkenaan tidak lagi mampu memenuhi keperluan semasa.

“Keadaan ini diburukkan lagi dengan tekanan air yang rendah, kawasan tadahan yang terhad serta paip lama yang uzur dan kerap bocor.

“Ketika musim kemarau, aliran air menjadi semakin perlahan dan ada kalanya tidak sampai ke kediaman penduduk, sekali gus menjejaskan kehidupan harian serta aktiviti ekonomi setempat,” katanya ketika ditemui Bernama di kampung berkenaan, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Presiden Islamic Aid Malaysia Zawahir Abdullah berkata selaku badan bukan kerajaan (NGO) pelaksana, program (CZR) Zurich Takaful itu turut melibatkan sistem penapisan air berteknologi membran sintetik yang ditambah baik, selain kerja menaik taraf sistem perpaipan sepanjang hampir lima kilometer dari sumber air ke tangki simpanan dan seterusnya ke rangkaian paip utama.

“Rumah pam turut dibina bagi menyalurkan air bersih yang telah dirawat untuk kegunaan harian penduduk serta aktiviti pertanian,” katanya sambil memaklumkan projek tersebut bermula pada Jun lepas.

Kemudahan berkenaan turut memberikan manfaat kepada masjid, pusat asuhan kanak-kanak, pusat komuniti serta beberapa madrasah di kampung itu.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved