
SHAH ALAM, 17 Ogos (Bernama) -- Kawasan hutan bukit seluas kira-kira 2.8 hektar berhampiran Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 14 di sini, terbakar dalam kejadian tengah hari tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.01 tengah hari sebelum mengerahkan pasukan ke lokasi.
“Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam yang tiba mendapati kawasan hutan bukit seluas kira-kira 2.8 hektar terbakar.
“Bagaimanapun, kebakaran tidak melibatkan sebarang struktur bangunan berhampiran serta tiada kemalangan jiwa atau mangsa dilaporkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi pemadaman melibatkan 10 anggota dan pegawai bomba menggunakan peralatan khas termasuk fire beater serta pam.
Baca juga:Ashrul Riezal berkata setakat 8.30 malam operasi pemadaman mencapai 60 peratus dan masih diteruskan secara berperingkat.
“Pasukan bomba sedang memadam tompokan api menggunakan sumber air daripada pili bomba Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) serta bantuan lori tangki air, selain melaksanakan fire break bagi mengekang kebakaran daripada merebak,” katanya.






