2 Lelaki Direman 7 Hari, Bantu Siasatan Kes Kematian Di Hotel

10 Jul 2026 • 6:31 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

2 Lelaki Direman 7 Hari, Bantu Siasatan Kes Kematian Di Hotel

PETALING JAYA - Dua lelaki direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kematian seorang lelaki tempatan di sebuah hotel di Sunway Mentari, di sini, awal minggu ini.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan seorang lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di hotel berkenaan pada jam 11.23 malam, 8 Julai lalu.

Beliau berkata, mangsa yang berusia lingkungan 30-an disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada tubuh mangsa.

“Beberapa barangan yang dipercayai dapat membantu siasatan turut dirampas di lokasi kejadian. 

“Hasil bedah siasat yang dijalankan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) semalam mengesahkan punca kematian adalah akibat pelbagai hentakan objek tumpul pada badan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Shamsudin, polis menahan dua lelaki tempatan berusia lingkungan 20-an dan 30-an bagi membantu siasatan, dan semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

“Permohonan reman terhadap kedua-dua suspek dibuat hari ini dan mahkamah membenarkan mereka direman selama tujuh hari sehingga 16 Julai.

“Motif kejadian masih dalam siasatan, manakala usaha mengesan individu lain yang dipercayai terbabit sedang giat dijalankan. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil membantu siasatan dengan menghubungi balai polis berhampiran atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Fandhi Fatullah Abu Bakar di talian 014-6303090.

Pada masa sama, Shamsudin menasihatkan orang ramai supaya tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau menyebarkan bahan berkaitan kejadian di media sosial bagi mengelakkan sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis. - Getaran, 10 Julai 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved