2 Pelajar Maut, KPM Arah IPG Henti Semua Aktiviti Ekstrem, Sukan Air

6 Apr 2026 • 12:39 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

KUALA LUMPUR - Semua Institut Pendidikan Guru (IPG) diarah menghentikan serta-merta semua aktiviti luar dan air, susulan kematian tragis dua pelajar di Kedah.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad sebagai langkah segera bagi memastikan keselamatan pelajar serta meredakan kebimbangan ibu bapa.

Beliau berkata, keputusan berkenaan berkuat kuasa serta-merta sehingga satu pengumuman baharu dibuat oleh kementerian.

“Ini merupakan tindakan segera bagi memastikan ibu bapa pelajar IPG dapat bertenang dan melihat tindak balas pantas daripada KPM,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Bas kepada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Permaisuri Bainun di Ipoh, hari ini.

Turut hadir ialah Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar, serta Pengetua SMK Raja Permaisuri Bainun, Datin Khalilah Za’aba.

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, KPM memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis yang sedang menjalankan siasatan berhubung insiden berkenaan.

Pada masa sama katanya, siasatan dalaman kementerian turut dimulakan bagi meneliti semua aspek, termasuk prosedur pelaksanaan aktiviti yang terlibat.

“Bagi siasatan polis, kita serahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa. Saya juga telah turun ke lokasi untuk bertemu pelajar yang terlibat bagi mendapatkan maklumat berkaitan kes ini,” katanya.

Terdahulu, dua pelajar IPG Kampus Perlis, Christopher Ling Jia Siang, 21, dan Joey Ling Lin Siang, 20, ditemukan lemas ketika berkayak di Pantai Merdeka, Sungai Petani, Kedah.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hanyan Ramlan dipetik sebagai berkata, mayat kedua-dua mangsa ditemukan kira-kira jam 7.30 malam, Sabtu lalu. - Getaran, 6 April 2026