2 Penunggang Basikal Maut Dilanggar, Pemandu Didakwa Tidak Sedar Kehadiran Mangsa 

5 Sep 2026 • 2:09 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

2 Penunggang Basikal Maut Dilanggar, Pemandu Didakwa Tidak Sedar Kehadiran Mangsa 

KOTA BHARU - Dua penunggang basikal maut selepas dirempuh dari arah belakang oleh kereta dalam kemalangan di Lebuh Raya Rakyat, di sini, pagi semalam.

Mangsa, Zamrie Rismawadi Mahmet, 49, dan rakannya, Nik Zaki Yamani Nik Abdul Aziz, 49, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada kepala dan badan.

Kemalangan berlaku kira-kira jam 9 pagi di Kilometer 16.5, ketika kedua-dua mangsa sedang berbasikal dari arah Kota Bharu menuju ke Ketereh.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Superintendan Wan Ruzailan Wan Mat Rusoff berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua mangsa sedang menggunakan lorong kiri sebelum dirempuh Perodua Kelisa yang datang dari arah sama.

Menurutnya, pemandu kereta berkenaan dipercayai tidak menyedari kehadiran kedua-dua penunggang basikal terbabit sehingga jarak terlalu dekat untuk mengelak.

“Apabila tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta dipercayai tidak melihat atau menyedari kehadiran kedua-dua penunggang basikal berkenaan.

“Jarak yang terlalu dekat menyebabkan pemandu tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian belakang kedua-dua basikal mangsa,” katanya hari ini.

Wan Ruzailan berkata, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius pada kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

Mayat kedua-duanya kemudian dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Difahamkan, kedua-dua mangsa sedang menjalani latihan berbasikal sebagai persiapan menyertai satu konvoi berbasikal ke Thailand minggu depan.

Abang kepada Zamrie, Zamri Risman, 52, berkata, adiknya sebelum ini giat menjalani latihan bagi membuat persiapan menyertai konvoi berkenaan. - Getaran, 5 September 2026

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved