Kemalangan Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh ragut dua nyawa

4 Sep 2026 • 9:52 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

Image from: Kemalangan Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh ragut dua nyawa

Dua penunggang basikal maut selepas dirempuh kereta di Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh; polis siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan.

KOTA BHARU: Dua penunggang basikal maut selepas dipercayai dirempuh sebuah kereta Perodua Kelisa yang dipandu seorang lelaki dari arah belakang di Kilometer 18 Lebuhraya Kota Bharu-Ketereh di sini pada 8.30 pagi tadi.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut.

Beliau berkata orang awam yang mempunyai rakaman kejadian menerusi kamera papan pemuka diminta supaya menyalurkannya kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Mangsa dikenal pasti sebagai Zamrie Rismawadi Mahmet dan Nik Zaki Yamani Nik Abdul Aziz, masing-masing berusia 49 tahun.

Kedua-dua penunggang basikal itu meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah dan mayat mereka dihantar ke Unit Forensik Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) untuk bedah siasat.

Sementara itu, abang seorang daripada mangsa, Zamrie Isman, 52, berkata adiknya, Zamrie Rismawadi aktif berbasikal sejak zaman remaja dan sering melakukan aktiviti itu bersama kumpulannya.

“Arwah ada memberitahu sebelum ini bahawa mereka merancang untuk berbasikal ke Thailand minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di Unit Forensik HRPZ II di sini.

Zamrie Isman berkata beliau mengetahui mengenai kejadian yang menimpa adiknya pada 10.30 pagi tadi selepas dimaklumkan oleh ahli keluarga yang lain.

“Kali terakhir saya berjumpa dengan arwah kira-kira dua bulan lepas. Saya sebenarnya baru balik ke Kelantan dari Selangor dengan hajat untuk bertemu dengannya.

“Saya tidak menyangka hasrat bertemu dengannya tidak kesampaian. Arwah tidak mempunyai anak walaupun pernah berkahwin sebelum ini,” katanya dan memaklumkan jenazah mangsa akan dikebumikan di Kampung Rupek di sini, malam ini.

Beliau berkata kehilangan Zamrie Rismawadi amat dirasai keluarga, terutama kerana arwah seorang yang bertanggungjawab terhadap sembilan lagi adik-beradiknya selain sudah berjaya menyiapkan sebuah rumah.

Sementara itu, isteri Nik Zaki, Munirah Mohd Yusof, 40, yang juga seorang guru, berkata suaminya keluar berbasikal bersama rakan-rakan seperti rutin biasa setiap kali cuti umum.

Munirah berkata beliau tidak pernah membayangkan kejadian sedemikian akan menimpa suaminya kerana aktiviti berbasikal bersama rakan-rakan sudah lama menjadi rutin arwah.

Beliau berkata jenazah suaminya dijangka dikebumikan di Kampung Kubang Bemban selepas solat Isyak malam ini, sebaik segala urusan bedah siasat selesai.

— BERNAMA

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved