2 remaja perempuan 15 tahun hilang ketika berkelah: Seorang ditemukan lemas

8 Aug 2026 • 7:16 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 2 remaja perempuan 15 tahun hilang ketika berkelah: Seorang ditemukan lemas
Kedua-dua remaja dikhuatiri hilang ketika mandi Pantai Tanjung Badak, Tuaran ditemukan pasukan bomba ketika operasi SAR dilakukan. Gambar kecil: Kurong

TUARAN - Seorang remaja perempuan ditemukan lemas, manakala rakannya terselamat selepas kedua-duanya dipercayai dihanyutkan ombak ketika mandi di Pantai Tanjung Badak di sini pada petang Sabtu.

Kedua-dua mangsa berusia 15 tahun itu ditemukan dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang dijalankan selepas mereka dilaporkan hilang di laut dengan seorang ditemukan dalam keadaan terkapai-kapai manakala seorang lagi terapung.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kurong Ak Beki berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.59 petang.

Katanya, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 23 kilometer dari BBP Tuaran.

"Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan memaklumkan terdapat dua remaja perempuan dikhuatiri hilang semasa berkelah dan mandi di pantai tersebut.

"Menurut maklumat awal, seorang mangsa telah berjaya ditemui dalam keadaan terkapai-kapai.

"Sementara seorang lagi mangsa ditemukan anggota bomba dalam keadaan terapung selepas operasi SAR dilakukan di kawasan tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Katanya lagi, mangsa yang terselamat diberikan rawatan awal di lokasi sebelum dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut.

"Sementara itu, mangsa kedua dibawa ke kawasan selamat untuk diberikan rawatan awal melalui kaedah resusitasi kardiopulmonari (CPR), bagaimanapun mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan.

"Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Kurong berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 6.07 petang selepas memastikan keadaan lokasi selamat.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved