
PASIR PUTEH: Seramai 20 pendatang asing tanpa izin (PATI) dari empat buah negara dicekup dalam dua siri serbuan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Negeri Kelantan di tebing Sungai Kelantan di Kota Bharu dan Pasir Mas, dekat sini baru-baru ini.
Semua PATI warga India, Sri Lanka, Indonesia dan Myanmar yang berusia dalam lingkungan 23 tahun hingga 50 tahun itu ditahan pada Rabu lalu dan kelmarin selepas dipercayai memasuki negara ini secara tidak sah sebelum dibawa melalui Sungai Kelantan.
Pengarah Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, operasi pertama dijalankan di belakang Pelangi Mall, Kota Bharu yang membawa kepada penahanan tiga lelaki warga India dan seorang lelaki Sri Lanka.
Katanya, Pasukan Operasi Darat Maritim Malaysia digerakkan ke tebing Sungai Kelantan di kawasan tersebut untuk memintas pergerakan sebuah bot.
“Tiga daripada PATI itu memiliki pasport namun gagal mengemukakan rekod perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini.
“Kejayaan ini hasil maklumat risikan berkaitan aktiviti penyeludupan migran melalui laluan tidak diwartakan di sekitar perairan negeri Kelantan,” katanya dalam sidang akhabr di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Negeri Kelantan, Tok Bali di sini hari ini.
Kamal berkata, operasi kedua dijalankan kelmarin di sekitar perairan Sungai Kelantan berhampiran Tendong di Pasir Mas sebelum menahan 16 PATI Indonesia dan Myanmar.
Menurutnya, bot yang membawa semua PATI itu lolos selepas mendaratkan mereka di kawasan tebing Sungai Kelantan.
“Siasatan mendapati 10 daripada PATI memiliki pasportn namun gagal mengemukakan rekod perjalanan yang sah manakala enam lagi tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri.
“Keadaan itu menimbulkan keraguan terhadap status kemasukan mereka ke negara ini. Mereka pada awalnya dipercayai mengambil risiko masuk ke negara ini secara haram dari pangkalan haram negara jiran atas sebab tertentu,” ujarnya.
Beliau berkata, siasatan lanjut mendapati, penyeludup menggunakan modus operandi sama untuk membawa masuk PATI apabila bot pergerakan bot dikesan pada awal pagi sebelum memasuki laluan sungai yang sempit dan cetek.
Katanya, semua PATI disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki berada di negara ini tanpa dokumen pengenalan diri dan rekod perjalanan yang sah. – UTUSAN
The post 20 PATI dicekup selepas mendarat di tebing Sungai Kelantan appeared first on Utusan Malaysia.





