Rentas tiga negara sebelum menyusup masuk ke Malaysia

16 Aug 2026 • 1:10 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Rentas tiga negara sebelum menyusup masuk ke Malaysia
Kamal (berdiri, depan) melihat PATI yang ditahan di Kelantan.

PASIR PUTEH - Terbang dari Indonesia merentasi Singapura dan Thailand sebelum menaiki bot untuk menyusup masuk secara haram ke Malaysia di Kelantan.

Itu modus operandi yang dikesan digunakan ejen dan sindiket bagi membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia menerusi ‘pakej’ perjalanan terancang untuk bekerja di negara ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kelantan, Kepten Maritim Kamal Mohamad berkata, siasatan awal mendapati perjalanan dari Indonesia ke Singapura dan Thailand dilakukan secara sah menggunakan pasport namun perjalanan memasuki Malaysia melalui laluan tidak diwartakan.

Menurutnya, kumpulan berkenaan dipercayai dibawa menaiki bot dari kawasan seberang dari Tak Bai, Thailand dan menyusuri Sungai Kelantan serta mendarat di lokasi yang berubah-ubah bagi mengelak dikesan pihak berkuasa.

“Daripada siasatan kami, mereka dari Indonesia menaiki kapal terbang ke Singapura kemudian ke Thailand.

“Di Singapura dan Thailand mereka masuk secara sah mungkin sebagai pelancong atau transit, tetapi apabila masuk ke Malaysia, mereka masuk secara haram bagi tujuan bekerja dan tinggal lebih lama di negara ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Kelantan di Tok Bali di sini pada Ahad.

Ujar beliau, terbaharu minggu lalu, Maritim Malaysia Kelantan menggagalkan kemasukan 20 PATI warga India, Sri Lanka, Indonesia dan Myanmar.

“Tangkapan pertama pada Rabu lalu, membabitkan empat lelaki iaitu tiga warga India dan seorang warga Sri Lanka yang menaiki bot di perairan Kuala Besar serta cuba meloloskan diri namun berjaya ditahan di tebing Sungai Kelantan di belakang Pelangi Mall, Kota Bharu.

“Pada Jumaat lepas pula, 16 individu ditahan di Sungai Kelantan berhampiran Tendong, Pasir Mas, terdiri daripada lapan warga Indonesia dan lapan warga Myanmar,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengesan kaitan antara ejen di Indonesia, Thailand dan Malaysia yang dipercayai menguruskan perjalanan migran terbabit dengan bayaran antara RM5,000 hingga RM10,000 malah boleh melebihi jumlah itu bergantung kepada negara asal serta jenis pekerjaan.

Kamal berkata, tujuan utama mereka memasuki Malaysia dipercayai untuk bekerja dan Kelantan pula dijadikan lokasi transit sebelum bergerak ke negeri lain terutama ke ibu negara.

“Pekerjaan pelbagai termasuk buruh binaan bagi wanita Indonesia yang datang dari Surabaya,” katanya.

Tambah beliau, kesemua 20 individu berusia antara 23 hingga 50 tahun ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan dibawa ke Ibu Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut.

 

 

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved