
BENTONG: Pasangan warga emas di Batu Satu, Teras di sini mendakwa kehidupan mereka terganggu sejak lebih 20 tahun lalu akibat aktiviti penyimpanan batu dan pasir serta pergerakan lori berat di premis perkakasan berhampiran rumah mereka.
T. Nadarajah, 67, berkata, gangguan itu bukan sahaja melibatkan debu dan asap diesel malah bunyi bising serta gegaran lori membawa muatan berat sehingga menyebabkan beberapa bahagian rumahnya mengalami keretakan.
Katanya, masalah berkenaan berlaku sejak 2001 dan dia sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa termasuk polis, pejabat daerah serta pihak berkuasa tempatan namun mendakwa belum mendapat penyelesaian yang diharapkan.
“Lori membawa muatan berat masuk ke kawasan ini manakala aktiviti menurunkan dan menyimpan batu serta pasir menyebabkan debu berterbangan dan masuk ke kawasan rumah.
“Bila angin kuat, debu semakin banyak dan saya terpaksa membersihkan rumah berkali-kali. Asap diesel dan bunyi lori juga mengganggu kami,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.
Nadarajah berkata, dia yang tinggal bersama isterinya, ST Devi, 58, turut bimbang keadaan tersebut menjejaskan kesihatan mereka terutama apabila terdedah kepada debu dan asap dalam tempoh yang lama.
Selain itu dakwanya, keadaan dinding rumahnya juga mengalami beberapa keretakan yang semakin ketara di samping kawasan sekitar kediaman sering dipenuhi debu.
“Saya sudah buat aduan di banyak tempat kerana tidak mahu masalah ini berlarutan. Laporan polis sebanyak lima kali. Kami warga emas dan hanya tinggal berdua di sini. Anak-anak pula tidak mahu menetap bersama kami,” katanya.-UTUSAN.
The post 20 tahun ‘diganggu’ debu, asap lori dan rumah retak appeared first on Utusan Malaysia.






