KUALA KRAI: Seorang wanita dan bekas suaminya dicekup bagi membantu siasatan berhubung kes menanam janin dipercayai berusia lima bulan di tepi sebuah rumah di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Batu Mengkebang, di sini dua tahun lalu.
Wanita berusia 30 tahun dan bekas suaminya berusia 32 tahun itu ditahan selepas mereka menyerah diri di Ibu pejabat Polis Daerah Kuala Krai di sini, kira-kira pukul 10.30 malam semalam.
Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintenden Mohd. Maizan Mustafa berkata, kedua-dua mereka ditahan selepas lelaki yang bekerja sebagai buruh binaan itu membuat laporan polis pukul 11 pagi semalam mengenai perbuatan bekas isterinya itu.
Katanya, siasatan awal mendapati, wanita terbabit dipercayai menggugurkan kandungannya yang berusia lima bulan sebelum menanam janin tersebut di tepi rumah, dua tahun lalu.
“Pasangan itu mempunyai tiga anak dan mereka sudah berpisah. Wanita tersebut dikatakan mempunyai kekasih selepas bercerai dengan bekas suaminya.
“Hasil perhubungan dengan teman lelakinya, wanita itu dipercayai hamil lima bulan sebelum bertindak menggugurkan kandungannya bagi mengelakkan keluarganya tahu mengenai perkara tersebut,” katanya di sini semalam.
Mohd. Maizan berkata, lelaki itu dipercayai membuat laporan polis berhubung perbuatan bekas isterinya selepas berlaku perselisihan faham antara mereka selepas bercerai.
Katanya, wanita terbabit dikatakan baru tiga hari berkahwin dengan teman lelakinya.
Sementara itu, Mahkamah Majistret Pasir Puteh dekat sini memerintahkan kedua-duanya ditahan reman empat hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes tersebut.
Perintah reman sehingga Khamis ini dikeluarkan oleh Majistret Nik Mohd. Fadhli Nik Azlan bagi memboleh pihak polis menjalankan siasatan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat secara sulit. – UTUSAN
The post Wanita, bekas suami ditahan tanam janin lima bulan tepi rumah appeared first on Utusan Malaysia.




