Lori bawa sisa Singapura: Jalan retak, kotor – JKR

LocalEnvironment
9 Aug 2026 • 8:45 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: Lori bawa sisa Singapura: Jalan retak, kotor – JKR

PONTIAN – Belum reda isu rumah penduduk retak, kini jalan raya milik Jabatan Kerja Raya (JKR) pula menjadi ‘mangsa’ ke­giatan pembuangan sisa binaan dari Singapura di daerah ini.

Lebih mengecewakan, kerosakan jalan akibat pergerakan dan penantian lori-lori berat di tepi jalan itu menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan peruntukan tambahan bagi kerja penyelenggaraan dan pembaikan.

Jurutera JKR Daerah Pontian, Ir. Dr. Saharudin Ismail berkata, isu berkenaan kini telah dibawa ke Mesyuarat Tindakan Daerah (MTD) Pontian berikutan kesannya terhadap keselamatan pengguna dan infrastruktur awam.

Menurut beliau, pergerakan keluar masuk lori yang membawa sisa tanah ke lokasi pembuangan tidak terkawal menyebabkan permukaan jalan milik JKR tercemar dengan kekotoran daripada tayar kenderaan berat.

“Lori yang membawa sisa binaan menyebabkan kekotoran daripada tayar melekat pada permukaan jalan apabila tiada kawalan pembersihan dilakukan.

“Keadaan ini boleh membahayakan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal kerana permukaan jalan menjadi kotor dan berisiko licin,” katanya ketika dihubungi Kosmo! Ahad.

Tambah beliau, masalah tidak terhenti di situ apabila lori-lori berkenaan turut beratur di tepi jalan sementara menunggu giliran untuk membuang tanah.

“Didapati juga lori-lori yang beratur untuk menunggu giliran membuang tanah di tepi jalan menyebabkan kerosakan dan keretakan jalan disebabkan bebanan lori yang berat.

“Kesan kerosakan ini menyebabkan kerajaan terpaksa membelanjakan peruntukan tambahan bagi menyelenggara dan membaiki jalan yang rosak disebabkan lori-lori tersebut,” katanya.

Kosmo! semalam mendedahkan kegiatan konvoi treler membawa sisa binaan dari Singapura untuk dibuang di beberapa lokasi di Pontian yang didakwa telah berlaku sejak kira-kira dua tahun lalu.

Pendedahan itu turut membongkar kegiatan berkenaan bukan sahaja mengundang keresahan penduduk, malah didakwa menyebabkan rumah retak serta membahayakan penunggang motosikal akibat ulang-alik treler yang membawa sisa buangan.

Antara lokasi yang dikaitkan termasuk Parit Sikom, Kampung Jeram Batu, Kampung Parit Rambai, Kampung Sungai Dinar dan Mukim Sungai Karang.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pekan Nanas, Tan Eng Meng berkata, kegiatan pembuangan sisa bahan binaan turut berlaku di kawasan DUN berkenaan, khususnya di Kampung Jeram Batu.

Katanya, operasi di kawasan tersebut bagaimanapun telah dihentikan selepas penduduk kampung tampil membantah kegiatan berkenaan yang didakwa menyebabkan jalan kampung rosak.

Perkembangan terbaharu itu menimbulkan persoalan sama ada wajar kerajaan terus menanggung kos membaiki jalan awam yang rosak akibat akti­viti pelupusan sisa binaan yang didakwa membawa masuk bahan dari luar negara.

Dalam masa sama, tindakan lebih tegas perlu diambil bagi memastikan kegiatan berkenaan tidak terus berulang dan menjadikan kawasan kampung di Pontian sebagai lokasi lambakan sisa binaan.

The post Lori bawa sisa Singapura: Jalan retak, kotor – JKR appeared first on Kosmo Digital.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved