
ISLAMABAD: Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif memaklumkan lapan pegawai digantung tugas dan mengarahkan prosiding jenayah dimulakan terhadap mereka selepas 14 bayi maut dalam kebakaran di wad bersalin sebuah hospital di ibu negara itu.
Menurut AFP, laporan awal yang disediakan jawatankuasa empat anggota yang ditubuhkan Shehbaz mendapati kebakaran itu memusnahkan seluruh unit berkenaan dalam tempoh kira-kira dua minit sejurus selepas 6.30 pagi (waktu tempatan) pada Rabu.
Seorang jururawat hanya sempat menyelamatkan seorang daripada 15 bayi yang berada dalam jagaan hospital itu ketika kejadian berlaku.
Antara yang digantung tugas ialah kakitangan hospital termasuk pengarah eksekutif dan ketua jabatan neonatal, selain ketua pengarah perkhidmatan kecemasan Islamabad.
Shehbaz pada lewat Sabtu berkata, mereka yang bertanggungjawab atas kecuaian jenayah tidak layak menerima sebarang kelonggaran dan akan dibawa ke muka pengadilan.
Beliau turut meluluskan tindakan terhadap syarikat yang bertanggungjawab menjaga keselamatan hospital itu, namun tidak menamakan syarikat berkenaan.
Perkhidmatan kecemasan dihubungi dalam tempoh enam minit selepas kebakaran berlaku, manakala pasukan penyelamat pertama tiba di lokasi 15 minit kemudian, menurut laporan itu.
Ibu bapa dan saksi lain memberitahu AFP, tindak balas terhadap kejadian itu agak lambat, manakala pengawal keselamatan dilaporkan menghalang orang ramai daripada meninggalkan bangunan.
Hospital berkenaan tidak mempunyai prosedur operasi terperinci atau latihan kebakaran dan kecemasan, menurut laporan awal itu.
Panel itu turut mendapati kebakaran berasingan berlaku di asrama jururawat hospital berkenaan sebulan sebelum kejadian, namun tiada penambahbaikan dari segi keselamatan dilakukan susulan kejadian tersebut.
Dua jururawat, seorang pengawal keselamatan wanita dan seorang lagi pegawai berada di wad ketika kebakaran tercetus, namun tiada kakitangan penyelia ketika kejadian, menurut laporan berkenaan.
Menteri Kesihatan, Mustafa Kamal sebelum ini berkata, percikan daripada pendingin hawa dipercayai menyebabkan kebakaran itu. Bagaimanapun, laporan berkenaan menjelaskan punca pencetus masih belum dapat ditentukan sementara siasatan diteruskan.
Setiausaha Kesihatan, Aslam Ghori, penjawat awam tertinggi kementerian berkenaan, dipecat pada Rabu susulan kejadian tragis itu.
Lapor Al Jazeera, seorang jururawat, Razia Noreen, sempat menyelamatkan seorang kanak-kanak sebelum api marak dan menyelubungi wad berkenaan.
Menurut kenyataan itu, Sharif menganugerahkan beliau darjah kebesaran negara Sitara-i-Khidmat atas khidmat awam, selain ganjaran wang tunai sebanyak satu juta rupee (RM14,105) atas usaha menyelamat tersebut.
Kerajaan turut berjanji memberikan pampasan sebanyak lima juta rupee (RM71,333) kepada setiap keluarga yang terjejas.
The post Pakistan gantung tugas lapan pegawai insiden kebakaran wad bayi appeared first on Utusan Malaysia.



