
KUALA LUMPUR 23 Dis – Lebih 200 kes ketidakpatuhan di bawah Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) direkodkan di Selangor sepanjang tempoh dua tahun lalu, menurut Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Pengarah KPDN Selangor, Mohd Zuhairi Mat Radey berkata, sejumlah 224 kes dikesan hasil pemeriksaan penguat kuasa kementerian itu ke atas 5,682 premis di seluruh negeri berkenaan.
Menurutnya, antara kesalahan utama yang dikenal pasti termasuk kegagalan mempamerkan tanda harga berwarna merah jambu bagi barangan di bawah SHMMP, menjual barangan melebihi harga maksimum ditetapkan serta tidak mempamerkan tanda harga.
“Bagi pelaksanaan SHMMP sempena sambutan Tahun Baharu Cina, Hari Raya Aidilfitri dan Deepavali tahun ini, sebanyak 1,951 premis telah diperiksa.
“Daripada jumlah itu, tindakan penguatkuasaan diambil terhadap 222 premis,” katanya kepada pemberita selepas pemeriksaan penguatkuasaan di sebuah pasar raya di sini hari ini.
Beliau berkata, peniaga yang didapati menjual barangan melebihi harga maksimum SHMMP boleh dikenakan tindakan kewangan dan hukuman penjara.
Menurutnya, individu yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali, atau dikompaun sehingga RM50,000.
Bagi syarikat pula, mahkamah boleh mengenakan denda sehingga RM500,000 atau kompaun sehingga RM250,000.
“Peniaga yang gagal mempamerkan tanda harga merah jambu boleh didenda sehingga RM10,000 atau dikompaun sehingga RM5,000,” katanya.
Menurutnya, syarikat yang melakukan kesalahan sama pula boleh didenda sehingga RM20,000 atau dikenakan kompaun sehingga RM10,000.
Mohd Zuhairi berkata, pelaksanaan SHMMP bukan sahaja menumpukan aspek harga, malah turut melibatkan pemeriksaan ke atas ketepatan alat timbang serta ketersediaan bekalan dan barangan keperluan.
Beliau memberi jaminan bekalan makanan di Selangor adalah mencukupi dan pemantauan dilakukan secara berterusan bagi membolehkan tindakan pantas diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan.
“Kami akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang ingkar. Ini secara tidak langsung mewujudkan ekosistem kawal selia kendiri dalam kalangan peniaga di samping memastikan perlindungan pengguna,” katanya.
Sebanyak 14 barangan disenaraikan di bawah SHMMP bagi musim perayaan Krismas, termasuk daging kambing import bertulang, kubis import dari Indonesia dan China (tidak termasuk kubis Beijing), lobak merah dari China, tomato, cili merah, lada benggala hijau, bawang merah, bawang kuning serta kentang import dari China.
Bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan, barangan terkawal turut meliputi babi hidup di peringkat ladang, perut babi serta daging dan lemak babi.
Di Sarawak, skim sama turut melibatkan sayap ayam dan ayam matang hidup. - DagangNews.com

