23 dikhuatiri maut dalam gempa bumi Jepun

30 Jul 2026 • 10:45 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 23 dikhuatiri maut dalam gempa bumi Jepun

TOKYO: Kira-kira 23 orang dikhuatiri maut selepas gempa bumi berukuran 7.1 skala Richter melanda barat daya Jepun, dengan empat mayat berjaya dikeluarkan daripada runtuhan sebuah pusat beli-belah yang musnah disyaki akibat letupan gas besar.

Pejabat Pengurusan Bencana Kumamoto memaklumkan, setakat ini 17 mangsa disahkan meninggal dunia, manakala enam lagi tidak menunjukkan tanda-tanda hidup dan lima mangsa berada dalam keadaan kritikal, dua hari selepas gempa bumi menggegarkan wilayah itu.

Ratusan anggota penyelamat masih bertungkus-lumus mencari mangsa yang dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan pusat beli-belah Aeon di Kashima, wilayah Kumamoto.

Menurut seorang pegawai Pejabat Pengurusan Bencana Kumamoto, seramai 10 mangsa berjaya dikeluarkan dari runtuhan setakat ini.

Daripada jumlah itu, empat disahkan maut, seorang tidak menunjukkan tanda-tanda kehidupan, manakala lima lagi mengalami kecederaan, termasuk kecederaan serius.

Gempa bumi yang berlaku pada Selasa itu menyebabkan kemusnahan meluas di pulau Kyushu, termasuk memusnahkan kediaman, merosakkan jambatan, mencetuskan kebakaran serta mengakibatkan puluhan ribu penduduk terputus bekalan elektrik dan air.

Beberapa gempa susulan turut terus menggegarkan kawasan berkenaan sejak gempa utama berlaku, sekali gus menjejaskan usaha menyelamat dan meningkatkan kebimbangan penduduk yang berdepan cuaca panas dengan suhu dijangka mencecah sekurang-kurangnya 35 darjah Celsius, selain amaran strok haba dikeluarkan.

Pusat beli-belah itu dipindahkan sejurus selepas gempa bumi berlaku, namun kira-kira 50 minit kemudian premis berkenaan musnah akibat satu letupan besar, ketika jumlah sebenar pekerja yang masih berada di dalam bangunan masih belum dapat dipastikan.

Rakaman dari dalam bangunan menunjukkan anggota penyelamat berpakaian seragam oren dan bertopi keledar putih berhati-hati meredah timbunan besi yang remuk, kabel yang bergantungan serta serpihan siling ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan.

Dalam perkembangan berkaitan, lima individu turut disahkan maut, manakala empat lagi masih hilang di sebuah kilang milik Nippon Paper Industries di bandar Yatsushiro selepas sebahagian cerobong berwarna merah putih runtuh, menurut seorang pegawai kerajaan kepada AFP pada Rabu.

Sehingga pagi ini, sebanyak 22,670 isi rumah dan premis masih terputus bekalan elektrik, manakala kira-kira 84,000 kediaman mengalami gangguan bekalan air setakat Rabu.

Rakaman televisyen turut memaparkan orang ramai beratur untuk mendapatkan bekalan petrol dan air minuman.

Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) merekodkan magnitud gempa bumi itu pada 6.8, lebih rendah berbanding bacaan 7.1 yang dikeluarkan pihak berkuasa Jepun.

Jepun merupakan antara negara paling aktif mengalami aktiviti seismik di dunia kerana terletak di persimpangan empat plat tektonik utama di sepanjang Lingkaran Api Pasifik.

Wilayah Kumamoto sebelum ini turut dilanda dua gempa bumi dahsyat pada 2016 yang mengorbankan 273 nyawa dan mencederakan lebih 2,800 orang.

The post 23 dikhuatiri maut dalam gempa bumi Jepun appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved