
TOKYO: Pasukan penyelamat bertarung dengan masa untuk mencari mangsa yang masih terselamat selepas gempa bumi berukuran 7.1 magnitud menggegarkan selatan Jepun sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 13 nyawa.
Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi berkata, kerosakan besar dilaporkan di beberapa kawasan, termasuk kematian dan kecederaan, bangunan runtuh, kebakaran serta kerosakan jalan raya.
“Sehingga kini, masih ada mangsa yang menunggu untuk diselamatkan dan ini adalah perlumbaan melawan masa. Kami akan menggerakkan semua aset yang ada bagi menyelamatkan seramai mungkin mangsa,” katanya kepada pemberita di Tokyo.
Gempa yang melanda wilayah Kumamoto di Pulau Kyushu, barat daya Jepun kelmarin turut mengakibatkan puluhan ribu kediaman mengalami gangguan bekalan elektrik.
Beberapa hospital berhampiran pusat gempa dilaporkan terjejas akibat gangguan bekalan elektrik, termasuk menggantung kemasukan pesakit baharu kerana tidak lagi mampu menampung kes kecemasan selepas menerima 86 mangsa bencana tersebut.
Jurucakap kerajaan, Minoru Kihara berkata, tujuh mangsa disahkan parah, manakala lebih 9,000 penduduk kini ditempatkan di 506 pusat pemindahan yang dibuka di tiga wilayah di Pulau Kyushu.
Lapan mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan sebuah pusat beli-belah yang sebahagiannya runtuh berhampiran bandar Kumamoto akibat letupan dipercayai berlaku kira-kira satu jam selepas gegaran.
Bagaimanapun, tiga daripada mangsa yang diselamatkan disahkan meninggal dunia.
Pengendali pusat beli-belah tersebut, Aeon, memaklumkan empat pekerjanya masih belum dapat dikesan selepas semakan dilakukan terhadap kira-kira 2,700 kakitangan.
Semua pelanggan dilaporkan berjaya dipindahkan sejurus selepas gegaran pertama berlaku. Pihak berkuasa sedang menyiasat kemungkinan berlaku letupan gas di pusat beli-belah berkenaan.
Kihara berkata, anggota penyelamat mengesan bau gas di dalam bangunan tersebut, namun punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.
Jurucakap Aeon berkata, letupan dipercayai berlaku selepas semua pelanggan dan kakitangan berjaya dipindahkan keluar daripada bangunan.
Pasukan bomba dan penyelamat, polis serta kira-kira 170 tentera kini memberi tumpuan kepada bahagian bangunan yang dipercayai masih terdapat mangsa berdasarkan panggilan kecemasan yang diterima.- AGENSI
The post Jepun kerah semua aset selamatkan mangsa gempa appeared first on Utusan Malaysia.




