
PENAMPANG: Kerajaan Negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan menyediakan 23 unit rumah di bawah Skim Perumahan Sabah Maju Jaya (SMJ) kepada keluarga yang kehilangan rumah sepenuhnya akibat banjir dan tanah runtuh yang melanda dua minggu lalu.
Ketua Zon 4 Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), Datuk John Ambrose, berkata proses saringan sedang dijalankan bagi mengenal pasti penerima yang layak mendapat bantuan perumahan tersebut.
“Proses ini melibatkan semakan status pemilikan tanah. Bagi mereka yang memiliki tanah, pembinaan boleh dimulakan segera.
“Bagi mereka yang tidak mempunyai tanah, kerajaan negeri akan mengenal pasti dan mewartakan tanah negeri yang sesuai sebagai penempatan kampung untuk pembinaan rumah SMJ,” katanya.
Beliau menegaskan proses saringan akan dijalankan secara telus supaya hanya mangsa yang benar-benar layak menerima bantuan.
“Salah satu kriteria utama melibatkan penilaian terperinci oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menentukan sama ada rumah yang terjejas masih boleh diduduki atau tidak,” katanya.
John mengesahkan unit rumah SMJ itu akan diberikan secara percuma kepada penerima. Beliau menyifatkan bencana alam dua minggu lalu sebagai yang terburuk pernah menimpa Penampang dan kawasan sekitarnya.
“Kita terpaksa membuka sehingga 11 pusat pemindahan sementara (PPS), sesuatu yang tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya.
Walaupun semua PPS sudah ditutup selepas bencana reda, katanya, ada mangsa yang masih ditempatkan sementara kerana proses pemulihan sedang berjalan.
“Ramai mangsa kini ditempatkan di Institut Latihan Mahkamah Anak Negeri (Ilman) di sini sebagai pusat transit. Kami berusaha memastikan semua keperluan asas mereka dipenuhi,” tambahnya.
Beliau turut memuji pemangku Presiden Majlis Daerah Penampang, Noemi Dyena John Tren, atas kecekapan mengurus bencana terburuk itu.
“Beliau sentiasa bermesyuarat dengan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, selaku Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri Sabah hingga lewat malam bagi membincangkan situasi bencana serta keselamatan dan kebajikan penduduk, khususnya mangsa.
“Saya tabik beliau dan pasukan teknikal termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri atas kerja yang cemerlang,” katanya.
John, yang juga Pengerusi Yayasan Bumiputera Sabah, turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, atas sokongan dan tindakan pantas beliau.
“Ketua Menteri sentiasa turun padang melihat keadaan mangsa dan memantau perkembangan bantuan. Saya amat berterima kasih kerana beliau memperkenalkan Skim Perumahan SMJ di bawah pentadbirannya yang terbukti menjadi penyelamat kepada rakyat Sabah yang memerlukan pada masa sukar.
“Ini menunjukkan kita mempunyai seorang pemimpin sejati yang berhati rakyat,” katanya.




