Kerja dari rumah: KPM teliti kemungkinan PdPR

LocalPolitics
14 Mar 2026 • 8:49 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Mohd Azam (tengah) pada Program Jaulah Ramadan KPM Tahun 2026 Negeri Kelantan di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di Kota Bharu pada Sabtu. Foto: HAZELEN LIANA KAMARUDIN

KOTA BHARU - Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) kepada pelajar akan diteliti sebaik mungkin sekiranya kerajaan memutuskan pelaksanaan kerja dari rumah bagi penjawat awam di negara ini.

Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad berkata, pihaknya akan menilai secara menyeluruh rasional pelaksanaan PdPR sebelum sebarang keputusan dibuat di peringkat sekolah.

"Kita akan teliti sekiranya cadangan kerja dari rumah ini melibatkan sekolah. Jika ada rasional untuk melaksanakan PdPR, kita akan menelitinya dengan cermat sebelum membuat keputusan.

"Perbincangan lanjut berhubung perkara itu akan diadakan minggu depan bersama Menteri (Fadhlina Sidek), Timbalan Menteri (Wong Kah Woh), Ketua Setiausaha (Datuk Dr Aminuddin Hassim) serta pengurusan tertinggi KPM (Kementeria Pendidikan Malaysia)," katanya pada Sabtu.

Sebelum itu, beliau merasmikan Program Jaulah Ramadan KPM Tahun 2026 Negeri Kelantan di Kolej Vokasional Pengkalan Chepa di sini.

Menurut beliau, KPM sudah mempunyai pengalaman melaksanakan PdPR ketika penularan Covid-19 sebelum ini.

Katanya, pengalaman tersebut boleh dijadikan panduan bagi menambah baik pelaksanaan sekiranya kaedah itu perlu dilaksanakan semula.

Mohd Azam memberitahu, pendekatan yang diambil perlu memastikan matlamat kerajaan khususnya dari segi penjimatan kos operasi dapat dicapai tanpa menjejaskan kualiti pendidikan.

"Apa juga keputusan yang dibuat nanti perlu mengambil kira kepentingan terbaik murid dan keberkesanan sistem pendidikan negara.

"Sebagai penjawat awam, pihak kementerian akan melaksanakan segala dasar dan keputusan yang diputuskan kerajaan dengan sebaik mungkin," katanya.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan cadangan kesesuaian pelaksanaan kerja dari rumah (WFH) bagi sektor awam akan diputuskan dalam Mesyuarat Kabinet, Selasa depan, kata Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil.

Menurutnya, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Wan Abdul Aziz untuk meneliti cadangan tersebut bagi memastikan beberapa perkara diselaraskan.