Tiada peruntukan khusus Ozempic, Mounjaro dalam Belanjawan 2026

LocalHealth & Fitness
2 Nov 2026 • 11:33 AM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Tiada peruntukan khusus Ozempic, Mounjaro dalam Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menyediakan peruntukan khas untuk rawatan obesiti dan diabetes menggunakan ubat seperti Ozempic dan Mounjaro dalam Belanjawan 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pesakit yang memerlukan rawatan berkenaan sebelum ini boleh mendapatkannya menerusi mekanisme Ubat Kelulusan Khas (UKK) menggunakan peruntukan sedia ada Kementerian Kesihatan (KKM).

Katanya, sebanyak 240 permohonan rawatan diluluskan bagi tempoh Januari hingga September lalu dengan melibatkan kos keseluruhan bernilai RM2.56 juta.

“Ubat daripada kumpulan GLP-1 (glucagon-like peptide-1) semakin mendapat perhatian sejak kebelakangan ini kerana keberkesanannya dalam merawat pesakit diabetes jenis 2 dan individu yang mengalami obesiti.

“Bagaimanapun, rawatan diabetes perlu disesuaikan mengikut keadaan setiap pesakit berdasarkan status kesihatan, tahap obesiti serta penyakit lain yang turut dihidapi.

“Bagi pesakit diabetes biasa, rawatan barisan pertama lazimnya menggunakan ubat oral seperti metformin untuk menurunkan paras gula dalam darah. Namun, sekiranya pesakit mempunyai komplikasi berkaitan berat badan atau obesiti, rawatan GLP-1 boleh dipertimbangkan mengikut keperluan klinikal,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai jumlah pesakit obesiti dan diabetes yang menerima rawatan glucagon-like peptide-1 receptor agonist (GLP-1 RA) serta peruntukan disediakan kerajaan bagi rawatan berkenaan.

Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, obesiti bukan sekadar masalah berat badan berlebihan atau penampilan fizikal, sebaliknya merupakan penyakit kronik yang memerlukan rawatan dan pengurusan secara berterusan.

Katanya, individu yang mempunyai indeks jisim badan (BMI) melebihi 30 perlu diberikan perhatian dalam pengurusan obesiti selaras dengan Garis Panduan Amalan Klinikal (CPG) KKM bagi mengurangkan risiko penyakit berkaitan.

“Obesiti pada hari ini merupakan masalah kesihatan awam yang boleh meningkatkan risiko pelbagai penyakit tidak berjangkit termasuk diabetes jenis dua, tekanan darah tinggi, penyakit kardiovaskular serta beberapa jenis kanser.

“Oleh itu, pengurusan obesiti tidak hanya tertumpu kepada rawatan menggunakan ubat-ubatan semata-mata, sebaliknya merangkumi perubatan gaya hidup, pemakanan sihat, aktiviti fizikal serta pembedahan bariatrik bagi pesakit yang memerlukannya,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, KKM turut melaksanakan program Multidisciplinary Integrated Management of Obesity (MIMO) bagi menyediakan pengurusan obesiti secara bersepadu melibatkan pelbagai disiplin kesihatan.

Katanya, program berkenaan dilaksanakan di 33 klinik kesihatan dengan sokongan pakar daripada 13 hospital KKM bagi memastikan pesakit obesiti dan diabetes menerima pengurusan serta rawatan secara menyeluruh dan berterusan.  – UTUSAN

The post Tiada peruntukan khusus Ozempic, Mounjaro dalam Belanjawan 2026 appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved