
KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merampas 697 unit produk retatrutide bernilai RM341,000 menerusi 12 serbuan yang dilaksanakan sepanjang 2025 hingga September lalu.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, retatrutide merupakan sejenis ubat yang setakat ini belum dimasukkan dalam formulari ubat kementerian itu.
Katanya, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi turut mengesan penjualan ubat seperti Ozempic dan semaglutide secara tidak sah yang membawa kepada tindakan serbuan serta rampasan produk berkenaan.
“Bagi tempoh 2025 hingga September 2026, sebanyak tujuh serbuan berkaitan produk berkenaan telah dilaksanakan dengan rampasan berjumlah 62 unit yang melibatkan nilai keseluruhan RM64,170.
“Antara langkah yang diambil termasuk aktiviti pengesanan dan saringan terhadap penjualan ubat-ubatan serta penurunan iklan daripada platform e-dagang.
“Siasatan terhadap aduan yang diterima dan serbuan ke atas pihak yang menjual ubat tidak berdaftar turut dilaksanakan. Langkah ini sangat penting khususnya dalam konteks penjualan ubat seperti Ozempic, Mounjaro dan produk lain yang berkaitan,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Dr. Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) berhubung tindakan penguatkuasaan serta strategi KKM membendung penjualan ubat terkawal secara tidak sah menerusi platform dalam talian.
Mengulas lanjut, Dzulkefly berkata, Bahagian Penguatkuasaan Farmasi di bawah Program Perkhidmatan Farmasi melaksanakan pemantauan dan tindakan penguatkuasaan secara berterusan mengikut bidang kuasa kementerian.
Katanya, KKM akan terus memperketat pemantauan terhadap penyalahgunaan platform e-dagang yang dijadikan saluran penjualan ubat-ubatan secara tidak sah.
“Berhubung penjualan ubat-ubatan secara dalam talian, aspek keselamatan dan keberkesanan merupakan perkara yang sangat penting dan perlu diberikan perhatian.
“Matlamat utama kita adalah untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan yang digunakan oleh masyarakat. Akhirnya, perkara paling penting yang ingin kita lindungi ialah keselamatan serta nyawa pengguna,” katanya. – UTUSAN
The post KKM rampas 697 unit retatrutide bernilai RM341,000 appeared first on Utusan Malaysia.






