25 warga asing ditahan tawar perkhidmatan seks di WeChat, WhatsApp

LocalDigital
17 Sep 2026 • 11:04 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 25 warga asing ditahan tawar perkhidmatan seks di WeChat, WhatsApp
Warga asing yang ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM di beberapa premis sekitar Kluang.
Image from: 25 warga asing ditahan tawar perkhidmatan seks di WeChat, WhatsApp
Seramai 25 warga asing ditahan dalam operasi penguatkuasaan JIM di beberapa premis sekitar Kluang.

KLUANG - Aplikasi komunikasi WeChat dan WhatsApp dipercayai menjadi penghubung bagi menawarkan perkhidmatan tidak bermoral dengan bayaran antara RM70 hingga RM180 kepada pelanggan di sekitar daerah ini.

Kegiatan itu terbongkar selepas Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menjalankan operasi penguatkuasaan membabitkan beberapa premis kedai urut serta kediaman yang dipercayai disalahgunakan untuk menjalankan aktiviti berkenaan pada jam 7 malam, Selasa laiu.

Pengarah Imigresen Negeri Johor, Datuk Haji Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, hasil maklumat dan risikan mendapati perkhidmatan tersebut dipercayai diiklankan serta diuruskan menerusi aplikasi komunikasi berkenaan.

Menurut beliau, bayaran bagi setiap perkhidmatan dipercayai dibuat secara tunai, manakala penggunaan premis kediaman sebagai lokasi kegiatan menunjukkan taktik pihak tertentu untuk menyembunyikan aktiviti daripada perhatian pihak berkuasa.

“Semakan awal mendapati seramai 25 individu ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen dalam operasi berkenaan.

“Mereka terdiri daripada tujuh wanita Vietnam, tiga wanita Thailand, tiga wanita Indonesia, enam wanita Myanmar, seorang lelaki Vietnam, tiga lelaki Indonesia serta masing-masing seorang lelaki Nepal dan Myanmar,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan berusia antara 25 hingga 41 tahun, selain dua warga tempatan yang dipercayai bertindak sebagai penjaga premis turut ditahan.

Menurutnya, kesemua individu berkenaan dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika untuk siasatan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sebanyak tiga Borang 29 iaitu saman kepada saksi turut dikeluarkan sepanjang pemeriksaan bagi membantu siasatan.

“Tindakan tegas akan terus diambil terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti pelacuran dan penyalahgunaan pas lawatan sosial,” katanya.

Mohd Rusdi berkata, JIM Johor memandang serius isu penyalahgunaan pas serta kemudahan yang diberikan kepada warga asing dan akan terus aktif memerangi serta membanteras pendatang asing tanpa izin (PATI) di negeri ini.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved