SHAH ALAM - Kira-kira 26,000 kontraktor di Selangor dipercayai terpaksa 'gulung tikar' atau menghentikan operasi selepas tidak lagi mampu menanggung kenaikan kos bahan binaan yang terus meningkat dan tidak menentu.
Situasi itu menyebabkan ramai kontraktor menarik diri daripada projek pembinaan termasuk enggan memperbaharui Sijil Perakuan Pendaftaran Kontraktor (SPPK) kerana kekangan kewangan.
Presiden Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM), Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz berkata, Selangor sebelum ini merekodkan lebih 50,000 kontraktor berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada 2024.
"Bagaimanapun, jumlah itu menurun kepada kira-kira 24,000 kontraktor sekali gus menunjukkan penyusutan lebih 50 peratus," katanya selepas merasmikan Mesyuarat Agung PKMM Selangor Kali Ke-40 pada Jumaat.
Mohd Rosdi menjelaskan, faktor utama itu disebabkan harga bahan binaan masih tidak stabil dan keseluruhan kenaikan kos itu terpaksa ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor.
"Akibatnya, ramai tidak lagi berkemampuan dari segi kewangan sehingga mengambil keputusan tidak memperbaharui lesen, malah ada yang memulangkan semula surat tawaran projek kerajaan," jelas beliau.
Beliau berkata, kerajaan menerusi kementerian serta agensi berkaitan perlu menyemak semula jadual kadar harga semasa sebelum mengeluarkan tender, sebut harga dan surat setuju terima bagi memastikan kos projek lebih realistik.
"Langkah ini penting bagi mengelakkan lebih 138,000 kontraktor berdaftar di seluruh negara menerima nasib sama sehingga terpaksa gulung tikar.
"Selain mengembalikan mekanisme Variasi Harga (VOP), sistem undian dalam pemilihan dan pelantikan kontraktor juga perlu diperluaskan bagi mengelakkan ketirisan atau manipulasi oleh pihak tertentu," tambah beliau.
Mohd Rosdi turut menyuarakan bantahan terhadap dasar kerajaan yang menetapkan syarat tempoh tertentu untuk kontraktor G1 dinaikkan ke G2.
Katanya, kenaikan kelas lesen sepatutnya dibuat berdasarkan kemampuan dan prestasi kontraktor bukannya faktor tempoh atau usia semata-mata.
"Bagaimanapun, saya menyokong kenyataan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi yang memaklumkan isu itu akan disemak semula selaras dengan perjuangan PKMM sejak sekian lama," ujar beliau.






