
"Seorang ikon bukan hanya dikenali kerana kejayaannya, tetapi dikenang kerana jasa dan impaknya kepada masyarakat."
Begitulah gambaran Presiden Kelab Wanita Ikon Malaysia (KWIM), Datuk Normaziah Sheikh Mohamed mengenai wanita yang dipilih menerima Anugerah Wanita Ikon Negeri 2026/2027.
Di sebalik gelaran dan pengiktirafan, setiap wanita mempunyai perjalanan tersendiri. Ada yang membina kerjaya dari bawah, ada yang banyak menghabiskan masa membantu komuniti dan tidak kurang juga yang menggunakan pengalaman dimiliki untuk membuka ruang kepada orang lain.
Justeru, ukuran seorang wanita sebagai ikon bukan semata-mata berdasarkan sejauh mana dia berjaya dalam kerjaya, sebaliknya bagaimana pencapaian itu memberi makna kepada orang di sekeliling.
Sebanyak 26 wanita diumumkan sebagai penerima Anugerah Wanita Ikon Negeri 2026/2027 dalam satu majlis sidang media yang disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying baru-baru ini.
Pemilihan kali ini turut memperlihatkan persaingan yang agak sengit apabila sebanyak 301 pencalonan diterima dari seluruh negara sepanjang tempoh Februari hingga April 2026.

Daripada jumlah itu, 179 calon berjaya melepasi saringan pertama sebelum 93 calon dipilih untuk penilaian akhir.
Apa yang menarik, penilaian bukan hanya tertumpu kepada pencapaian atas kertas.
Kesemua finalis melalui sesi temu duga bersama panel juri profesional selain tugasan lapangan menerusi Program Jelajah Ikon. Pendekatan tersebut mengambil kira beberapa aspek termasuk kepimpinan, integriti, tanggungjawab sosial serta sumbangan calon kepada komuniti.
Akhirnya, 26 wanita dipilih menerusi empat kategori iaitu Wanita Ikon Negeri, Wanita Ikon Muda Negeri, Wanita Ikon Waja Negeri dan Wanita Ikon Inspirasi Negeri.

Angkat peranan wanita
Bagi Normaziah, pengiktirafan berkenaan juga menjadi ruang untuk mengetengahkan kisah wanita yang selama ini mungkin tidak begitu mendapat perhatian.
"Malaysia mempunyai begitu ramai wanita luar biasa yang bekerja dalam diam tanpa mengharapkan publisiti. Anugerah Wanita Ikon Malaysia diwujudkan untuk mengetengahkan kisah perjuangan mereka agar menjadi inspirasi kepada generasi akan datang," katanya.
Menurut beliau, wanita yang benar-benar memberi inspirasi bukan sekadar memiliki pencapaian untuk dibanggakan, tetapi meninggalkan sesuatu yang boleh dirasai oleh masyarakat.
Selepas pengumuman tersebut, perjalanan para penerima juga tidak terhenti begitu sahaja.
Bermula 17 Ogos, mereka akan kembali ke negeri masing-masing untuk melaksanakan projek tanggungjawab sosial mengikut bidang yang bersesuaian dengan komuniti setempat.

Antara fokus yang diketengahkan termasuk ekonomi, pendidikan, budaya dan nilai, kesihatan serta keselamatan.
Sementara itu, Lim Hui Ying menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai antara usaha yang mengangkat peranan wanita dalam pelbagai bidang termasuk kepimpinan, profesional, keusahawanan dan pendidikan.
Kesemua penerima bakal diraikan pada Malam Gala Anugerah Wanita Ikon Malaysia 2026/2027 pada 26 September ini.



