
Exco Wanita UMNO, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid melakar satu lagi pencapaian apabila dinobatkan sebagai Wanita Ikon Negeri Selangor 2026/27, sekali gus diberi amanah untuk mewakili Selangor sebagai finalis Anugerah Wanita Ikon Malaysia.
Menerusi perkongsiannya di Instagram, Nurulhidayah menzahirkan rasa syukur atas pengiktirafan yang diterimanya sambil menyifatkan pencapaian itu bukan sebagai ukuran bahawa beliau lebih baik berbanding wanita-wanita hebat yang lain.
Sebaliknya, beliau melihat pengiktirafan tersebut sebagai satu amanah yang mengingatkannya bahawa masih banyak perkara perlu dipelajari, diperbaiki dan disumbangkan kepada masyarakat.
"Pengiktirafan ini bukanlah ukuran bahawa saya lebih baik daripada wanita-wanita hebat yang lain.
"Sebaliknya, ia adalah satu amanah yang mengingatkan saya bahawa masih banyak yang perlu dipelajari, diperbaiki dan disumbangkan kepada masyarakat,” katanya.
Nurulhidayah turut merakamkan penghargaan kepada panel juri, penganjur, keluarga, rakan-rakan serta semua pihak yang sentiasa memberikan sokongan dan kepercayaan kepadanya.
Menurut beliau, kejayaan yang dikecapi bukan hasil usaha seorang, sebaliknya turut hadir daripada doa, bimbingan dan kerjasama ramai pihak yang berada di belakang perjalanan tersebut.
Dalam pada itu, Nurulhidayah berkata beliau mahu membawa nama Selangor dengan sebaik mungkin dan tidak melihat gelaran tersebut sebagai sesuatu yang perlu dikejar semata-mata.
Sebaliknya, beliau mahu menggunakan platform berkenaan untuk membuka lebih banyak ruang kepada wanita agar terus bangkit, saling mengangkat antara satu sama lain serta menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
“Bukan untuk mengejar gelaran, tetapi untuk membuka lebih banyak ruang kepada wanita agar terus bangkit, saling mengangkat antara satu sama lain, dan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang,” katanya.
Beliau turut memohon doa agar diberikan kekuatan, keikhlasan dan kebijaksanaan untuk memikul amanah tersebut serta memastikan setiap langkah yang diambil memberi manfaat kepada wanita, masyarakat dan negara.
Nurulhidayah pada masa sama mengucapkan tahniah kepada semua finalis yang terpilih mewakili negeri masing-masing dalam Anugerah Wanita Ikon Malaysia.
Pengiktirafan berkenaan menjadi satu lagi pentas buat Nurulhidayah untuk membawa aspirasi wanita Selangor ke peringkat lebih luas, selain meneruskan usaha memperkasakan wanita dan memberi manfaat kepada masyarakat.





