Ekonomi digital Malaysia cecah RM476.8 bilion pada 2025, ICT dan e-dagang sumbang 23.5% kepada KDNK - DOSM

LocalBusiness & Finance
15 Oct 2026 • 3:42 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ekonomi digital Malaysia cecah RM476.8 bilion pada 2025, ICT dan e-dagang sumbang 23.5% kepada KDNK - DOSM Image from: Ekonomi digital Malaysia cecah RM476.8 bilion pada 2025, ICT dan e-dagang sumbang 23.5% kepada KDNK - DOSM sarah15/10/2026 - 15:42 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 15 Okt - Industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta e-dagang terus menjadi pemacu utama ekonomi Malaysia apabila menjana nilai ditambah kasar sebanyak RM476.8 bilion pada 2025, bersamaan 23.5% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

 

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), ekonomi ICT negara berkembang 5.6% pada 2025, lebih tinggi berbanding pertumbuhan 5.2% yang dicatatkan pada tahun sebelumnya, mencerminkan peningkatan aktiviti ekonomi berasaskan teknologi dan perdagangan digital.

 

Berdasarkan laporan Akaun Satelit Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICTSA) 2025 yang diterbitkan hari ini, industri ICT sahaja menjana nilai ditambah kasar sebanyak RM288.1 bilion, dengan perkhidmatan ICT menjadi penyumbang terbesar sebanyak 40.3%, diikuti pembuatan ICT sebanyak 38.2%.

 

Kedua-dua subsektor itu masing-masing mencatatkan pertumbuhan 7.6% dan 6.4%, manakala perdagangan ICT menyumbang 15.3% dan industri kandungan serta media sebanyak 6.2% kepada keseluruhan nilai ditambah industri ICT.

 

Sementara itu, sektor e-dagang merekodkan nilai ditambah kasar sebanyak RM267.6 bilion pada 2025, menyumbang 13.2% kepada ekonomi negara dengan pertumbuhan 3.7%.

 

Sektor pembuatan kekal sebagai penyumbang terbesar kepada aktiviti e-dagang dengan bahagian 50.5% dan pertumbuhan 1.3%, manakala sektor perkhidmatan menyumbang 47% dengan kadar pertumbuhan meningkat kepada 7.2% berbanding 5.1% pada 2024.

 

ict

 

Dari segi perdagangan antarabangsa, eksport produk ICT Malaysia melonjak 14.8% kepada RM513.6 bilion pada 2025, jauh lebih tinggi berbanding pertumbuhan 3.9% yang direkodkan pada tahun sebelumnya.

 

Import produk ICT pula meningkat 24.2% kepada RM405.3 bilion berbanding pertumbuhan 20.9% pada 2024, menjadikan Malaysia mencatatkan lebihan perdagangan bersih produk ICT sebanyak RM108.3 bilion.

 

Prestasi eksport itu mencerminkan peranan penting produk ICT dalam perdagangan luar Malaysia, khususnya ketika permintaan terhadap teknologi dan produk berkaitan terus berkembang.

 

Dalam aspek pekerjaan, industri ICT menyediakan peluang pekerjaan kepada 1.27 juta orang pada 2025, meningkat 1.1% berbanding tahun sebelumnya dan merangkumi 7.6% daripada keseluruhan guna tenaga negara.

 

Industri pembuatan ICT menyumbang bahagian pekerjaan terbesar sebanyak 35.1%, diikuti perkhidmatan ICT sebanyak 29% dan perdagangan ICT sebanyak 23.4%.

 

Secara keseluruhan, pencapaian itu memperlihatkan kepentingan sektor ICT dan e-dagang dalam menyokong pertumbuhan ekonomi, perdagangan antarabangsa serta peluang pekerjaan di Malaysia. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved