28 hospital kerajaan catat masa menunggu katil bawah lapan jam

LocalHealth & Fitness
27 Oct 2026 • 1:14 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 28 hospital kerajaan catat masa menunggu katil bawah lapan jam

KUALA LUMPUR – Sebanyak 28 daripada 39 hospital kerajaan kategori Jenis 1 dan 2 mencatatkan purata masa menunggu katil bagi kemasukan ke wad dari Jabatan Kecemasan di bawah lapan jam setakat Jun lalu.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pencapaian itu bersamaan 71.8 peratus daripada keseluruhan hospital berkenaan, yang kebanyakannya menerima jumlah pesakit tinggi serta kes rujukan dari daerah sekitar.

Beliau berkata, pencapaian tersebut menunjukkan peningkatan berbanding 2025 apabila hanya 55.26 peratus hospital dalam kategori berkenaan merekodkan purata masa menunggu katil kurang daripada lapan jam.

“Bagi hospital Jenis 3 dan 4 yang terdiri daripada hospital pakar minor serta hospital tanpa pakar, sebanyak 94 daripada 103 hospital atau 91.3 peratus mencatatkan purata masa menunggu katil kurang daripada empat jam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan soalan Datuk Seri Aminuddin Harun (PH-Port Dickson) yang meminta penjelasan mengenai jumlah hospital kerajaan yang berdepan kesesakan berterusan di Jabatan Kecemasan, tempoh menunggu pesakit serta langkah mengatasinya.

Menurut Dzulkefly, Kementerian Kesihatan (KKM) melaksanakan beberapa langkah jangka pendek, sederhana dan panjang bagi mengurangkan kesesakan serta memperbaiki pengalaman pesakit.

Antaranya menerusi Program Penyumberluaran Perkhidmatan Hospital (HSOP) yang dilaksanakan sejak 2024, melibatkan 14 perkhidmatan dan memberi manfaat kepada lebih 50,000 pesakit di 75 hospital KKM.

Selain itu, KKM memperkukuh pengurusan aliran pesakit menerusi inisiatif Lean Healthcare, termasuk penambahbaikan pengurusan katil melalui Unit Pengurusan Katil (BMU), penyediaan ruang menunggu pesakit yang dibenarkan pulang serta pemerkasaan unit rawatan harian.

“Pelaksanaan inisiatif Hospital Kluster turut membolehkan perkongsian kepakaran, peralatan dan kapasiti katil antara hospital yang terletak berdekatan.

“Peranan klinik kesihatan juga diperkukuh bagi menguruskan pesakit stabil dan penyakit kronik supaya beban hospital dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam jangka panjang, KKM akan melaksanakan penambahbaikan infrastruktur, meningkatkan kapasiti fizikal serta memperkukuh sumber manusia secara bersasar.

Langkah itu merangkumi projek naik taraf, pengubahsuaian dan peluasan fasiliti kesihatan secara berperingkat, tertakluk kepada keutamaan keperluan serta kemampuan fiskal kerajaan. – KOSMO! ONLINE

The post 28 hospital kerajaan catat masa menunggu katil bawah lapan jam appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved