28 rumah atas air musnah terbakar

19 Aug 2026 • 9:46 AM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: 28 rumah atas air musnah terbakar
Keadaan rumah yang musnah terbakar dalam kejadian di Pulau Nunuyan Laut, Sandakan.
Image from: 28 rumah atas air musnah terbakar
Pasukan bomba terpaksa menggunakan bot untuk ke lokasi bagi operasi memadam kebakaran di perkampungan atas air Pulau Nunuyan Laut, Sandakan.

SANDAKAN - Angin kuat dan api merebak pantas menyebabkan sebanyak 28 rumah di perkampungan atas air musnah terbakar dalam kejadian di Pulau Nunuyan Laut, di sini pada awal pagi Rabu.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.30 pagi itu, tiada kemalangan jiwa dilaporkan, namun menyebabkan lebih 100 penduduk tinggal sehelai sepinggang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 3.50 pagi.

Menurutnya, seramai 10 anggota dikerahkan ke lokasi yang terletak sejauh 18 kilometer dari BBP Sandakan.

"Menurut maklumat awal yang diterima daripada pemanggil, kebakaran dipercayai melibatkan lebih daripada 10 rumah.

"Pasukan bomba telah digerakkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman dan penyelamatan," katanya dalam kenyataan.

**media[3619302]**

Beliau berkata, bagi memastikan akses ke lokasi dapat dilakukan dengan segera, pihak bomba telah menghubungi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi mendapatkan bantuan penyediaan bot untuk membawa anggota serta peralatan operasi ke tempat kejadian.

"Jarak perjalanan dari balai bomba ke Jeti Maritim adalah sejauh 6.1 kilometer, manakala jarak dari Jeti Maritim ke lokasi kejadian adalah kira-kira 12 kilometer.

"Sebaik tiba, sebanyak 28 buah rumah jenis tidak kekal telah musnah sepenuhnya, namun setakat ini tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian tersebut," katanya.

Jimmy berkata, pasukannya menjalankan operasi memadam kebakaran menggunakan sumber air terbuka dari air laut.

"Operasi turut berdepan cabaran cuaca berangin kuat yang menyukarkan pergerakan pasukan ke lokasi kejadian dan menyebabkan api merebak dengan cepat dari sebuah rumah ke rumah yang lain.

"Kebakaran akhirnya berjaya dikawal pada jam 5.45 pagi dan pasukan bomba turut berjaya menyelamatkan sebanyak 162 rumah daripada turut terjejas," katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba kini meneruskan kerja-kerja pemadaman dan pemantauan bagi memastikan kebakaran dipadamkan sepenuhnya serta mengelakkan risiko kebakaran merebak ke kawasan berhampiran.

"Maklumat lanjut akan dikemas kini dari semasa ke semasa," katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved