
SEBERANG PERAI – Tiga pekerja lelaki warga Nepal berdepan detik cemas apabila terperangkap di atas ‘awning’ sebuah rumah kedai selepas premis yang terletak di Jalan Pasar, Bukit Mertajam di sini terbakar awal pagi tadi.
Berdasarkan hantaran di Facebook rasmi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kebakaran membabitkan dua unit rumah kedai pada pukul 7.01 pagi.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Mertajam bersama jentera tiba di lokasi dan mendapati tiga mangsa dikenali sebagai Denish, 36; Lalman, 37; dan Ganesh Chand, 29, terperangkap di bahagian awning tingkat dua bangunan terbabit.
Operasi menyelamat segera dijalankan dan kesemua mangsa berjaya dibawa turun dengan menggunakan tangga dengan selamat tanpa mengalami sebarang kecederaan.
Dalam kejadian itu, pemilik premis berusia 42 tahun turut dilaporkan selamat. Operasi memadam kebakaran turut dibantu anggota dari BBP Bandar Perda serta Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Cross Street.
Api berjaya dikawal pada pukul 7.15 pagi sebelum dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.42 pagi, dengan anggaran kemusnahan dianggarkan sekitar 40 peratus membabitkan kedua-dua unit rumah kedai terbabit.
Operasi keseluruhan ditamatkan pada pukul 10.13 pagi selepas kerja-kerja overhaul selesai da kes diserahkan kepada Pasukan Penyiasatan Kebakaran (FIO) JBPM untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca kejadian. – KOSMO! ONLINE
The post Warga Nepal terperangkap atas ‘awning’, rumah kedai terbakar appeared first on Kosmo Digital.





