
Sebuah rumah teres dua tingkat di Alam Damai, Cheras musnah sepenuhnya dalam satu kejadian kebakaran awal pagi Ahad, 16 Ogos. Insiden tersebut dipercayai berpunca daripada sebuah kenderaan elektrik (EV) yang sedang dicas di petak letak kereta rumah berkenaan.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 5:03 pagi sebelum 22 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Cheras, Sungai Besi serta Bandar Tun Razak dikerahkan ke lokasi. Kebakaran berjaya dikawal dan operasi pemadaman tamat pada 6:41 pagi. Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut.
EV terbakar adalah Mercedes-Benz EQE?

Kenyataan rasmi JBPM tidak menyatakan jenama atau model EV yang terbabit dalam kejadian ini. Bagaimanapun, berdasarkan gambar kenderaan yang terbakar dikongsikan pihak JBPM, terdapat sedikit petunjuk visual yang menjurus kepada model EV Mercedes-Benz EQE.

Petunjuk ini dapat dilihat terutamanya pada bahagian struktur belakang kenderaan tersebut, yang mempunyai persamaan ketara dengan rangka struktur belakang Mercedes-Benz EQE yang terlibat dalam kebakaran di sebuah garaj bawah tanah di Incheon, Korea Selatan pada Ogos 2024.
Antara ciri yang kelihatan sepadan termasuk bentuk bukaan pintu belakang dan struktur lampu belakang sebelah kanan. Selain itu, terdapat juga dua lubang berbentuk segi empat pada bahagian bawah rangka belakang kenderaan tersebut.

Walau bagaimanapun, identiti EV yang terbabit masih belum disahkan secara rasmi. Perbandingan ini dibuat berdasarkan rupa fizikal kenderaan yang kelihatan dalam gambar dan bukan pengesahan bahawa ia sememangnya sebuah Mercedes-Benz EQE.
Bercakap soal kebakaran EV, ini penjelasan PIAM
Sementara membincangkan topik kebakaran EV, Persatuan Insurans Am Malaysia (PIAM) sebelum ini pernah menjelaskan bahawa polisi insurans kebakaran standard secara amnya masih terpakai, tidak kira sama ada kebakaran berpunca daripada EV, kenderaan berkuasa petrol, atau sumber elektrik lain.
Penjelasan tersebut dibuat susulan spekulasi dalam talian yang mendakwa EV mempunyai risiko kebakaran lebih tinggi, selain dakwaan bahawa syarikat insurans mungkin enggan menanggung kerosakan sekiranya EV terbakar di rumah atau tempat letak kereta bangunan.
Persatuan itu turut menegaskan bahawa data dan statistik yang ada tidak menunjukkan EV mempunyai risiko kebakaran yang lebih tinggi berbanding kenderaan petrol atau diesel. Malah, menurut PIAM, kenderaan enjin pembakaran dalaman (ICE) sebenarnya menunjukkan risiko pendedahan kebakaran yang lebih tinggi berbanding EV.
Walaupun polisi insurans kebakaran standard secara amnya masih terpakai, PIAM turut mengingatkan bahawa perlindungan sebenar bergantung kepada terma polisi individu, nilai yang diinsuranskan serta pengecualian yang ditetapkan oleh syarikat insurans.
Bagi kes di Alam Damai ini, JBPM setakat ini hanya menyatakan bahawa kebakaran dipercayai bermula daripada EV yang sedang dicas. Punca tepat kebakaran, termasuk komponen yang menyebabkan ia tercetus, masih belum disahkan secara terbuka.





