
PETALING JAYA – Sebanyak 28 stesen seismik di seluruh Sabah digunakan Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) bagi memantau aktiviti gempa bumi di negeri itu secara berterusan selama 24 jam.
Ketua Pengarah METMalaysia, Dr. Mohd Hisham Mohd Anip berkata, pemantauan itu susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 yang berlaku di Kuamut, Kinabatangan pada pukul 5.32 pagi, 26 September lalu.
Katanya, antara stesen seismik yang berhampiran dengan lokasi kejadian ialah Sapulut pada jarak 57.23 kilometer (km), Keningau (66.51 km), Sandakan/Telupid (74.36 km), Matupang (76.67 km) dan Tenom (93.32 km).
“METMalaysia berupaya mengesan dan menganalisis kejadian gempa bumi dengan pantas dan maklumat berkaitan akan disalurkan dalam tempoh enam minit selepas dikesan, tertakluk kepada kesediaan data.
“Sehingga kini, masih belum ada teknologi yang mampu meramal kejadian gempa bumi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, gempa bumi tidak boleh diramal dari segi masa, lokasi dan magnitud sebelum berlaku, sebaliknya stesen seismik berfungsi mengesan serta menentukan magnitud gempa selepas kejadian.
Katanya, ancaman tsunami pula boleh dinilai berdasarkan magnitud gempa bumi dan data pemantauan berkaitan sebelum maklumat serta amaran dikeluarkan sekiranya terdapat potensi ancaman.
“Pemasangan stesen atau sensor seismik tambahan di sesuatu lokasi boleh memperkukuh liputan dan keupayaan pemantauan setempat, namun ia tidak bermaksud gempa bumi dapat diramal lebih awal.
“METMalaysia akan terus memantau aktiviti seismik di Sabah dan menyalurkan maklumat yang pantas, tepat serta sahih kepada orang awam dan agensi berkaitan,” katanya.
Orang ramai dinasihatkan mendapatkan maklumat berkaitan gempa bumi dan tsunami hanya melalui saluran rasmi METMalaysia. – KOSMO! ONLINE
The post 28 stesen seismik pantau aktiviti gempa bumi di Sabah appeared first on Kosmo Online.




