Gempa Kuamut: MetMalaysia Aktifkan Pemantauan 24 Jam Menerusi 28 Stesen Seismik

LocalEnvironment
27 Sep 2026 • 3:17 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Gempa Kuamut: MetMalaysia Aktifkan Pemantauan 24 Jam Menerusi 28 Stesen Seismik

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengaktifkan pemantauan berterusan selama 24 jam menerusi 28 stesen seismik di Sabah susulan kejadian gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 di Kuamut, Kinabatangan, awal pagi semalam.

Ketua Pengarah MetMalaysia, Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata, beberapa stesen seismik yang berhampiran dengan lokasi kejadian termasuk Sapulut yang terletak 57.23 kilometer (km), Keningau (66.51 km), Sandakan/Telupid (74.36 km), Matupang (76.67 km) dan Tenom (93.32 km).

Menurutnya, MetMalaysia berupaya mengesan serta menganalisis kejadian gempa bumi dengan pantas, manakala maklumat berkaitan akan disalurkan dalam tempoh enam minit selepas dikesan, tertakluk kepada kesediaan data.

“Namun sehingga kini masih belum ada teknologi yang mampu meramal kejadian gempa bumi,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Semalam, gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 dilaporkan berlaku di Kuamut pada jam 5.32 pagi.

MetMalaysia memaklumkan pusat gempa berkenaan berada pada koordinat 5.1 darjah utara dan 116.8 darjah timur, dengan kedalaman 118 kilometer.

Lokasi itu adalah kira-kira 223 km barat laut dari Tarakan, Indonesia dan 32 km barat daya dari Tongod, Sabah.

Bagaimanapun, jabatan berkenaan memaklumkan tiada ancaman tsunami kepada Malaysia susulan kejadian tersebut.

Gempa Tidak Boleh Diramal

Mohd Hisham berkata, kejadian gempa bumi tidak boleh diramal dari segi masa, lokasi dan magnitud sebelum ia berlaku.

Sebaliknya, stesen seismik berfungsi untuk mengesan kejadian serta menentukan magnitud gempa bumi selepas ia berlaku, jelasnya.

“Ancaman tsunami pula boleh dinilai berdasarkan magnitud gempa bumi dan data pemantauan berkaitan.

“Sekiranya terdapat potensi ancaman tsunami, MetMalaysia akan mengeluarkan maklumat serta amaran yang berkaitan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pemasangan stesen atau sensor seismik tambahan di sesuatu lokasi boleh memperkukuh liputan dan keupayaan pemantauan setempat.

Namun, ujarnya, langkah berkenaan tidak bermaksud kejadian gempa bumi dapat diramal lebih awal.

Baca juga:

Orang Ramai Diminta Rujuk Saluran Rasmi

Justeru, Mohd Hisham berkata MetMalaysia akan terus memantau aktiviti seismik di Sabah dan menyalurkan maklumat yang pantas, tepat serta sahih kepada orang awam dan agensi berkaitan.

“Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan maklumat berkaitan gempa bumi dan tsunami hanya melalui saluran rasmi MetMalaysia,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved