
KINABATANGAN: Anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjalankan rondaan dan pemeriksaan keselamatan di beberapa kawasan di sini susulan gempa bumi lemah bermagnitud 3.3 pada skala Richter yang dikesan di Kuamut, awal pagi Sabtu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dalam kenyataan, memaklumkan gempa bumi itu berlaku pada 5.32 pagi di koordinat 5.1 darjah Utara dan 116.8 darjah Timur.
Gempa bumi itu berpusat pada kedalaman 118km, kira-kira 34km barat daya Tongod, Sabah dan 223km barat laut Tarakan, Indonesia.
Susulan kejadian itu, enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kinabatangan menjalankan rondaan di Sedco Kinabatangan, Perpustakaan Bukit Garam, Bukit Garam Point serta kawasan lain yang dikenal pasti berisiko.
Komander Operasi PBK I Jasmani bin Osni berkata pemeriksaan mendapati tiada kerosakan struktur pada bangunan yang diperiksa dan tiada laporan mengenai kejadian runtuhan.
“Pasukan turut menasihati penduduk supaya terus berwaspada terhadap kemungkinan gegaran susulan dan segera memaklumkan kepada pihak berkuasa sekiranya mendapati sebarang kerosakan atau kecemasan,” katanya.
Rondaan yang bermula pada 6.21 pagi itu berakhir pada 7 pagi selepas kawasan yang diperiksa didapati selamat dan terkawal.
MetMalaysia berkata tiada ancaman tsunami terhadap Malaysia susulan kejadian gempa bumi itu.




