
KUALA TERENGGANU – Tiga kawasan di Terengganu merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) pada tahap tidak sihat hari ini.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Terengganu, Hamzah Mohamad berkata, Kemaman merekodkan bacaan tertinggi iaitu 157, diikuti Paka (156) dan Kuala Terengganu (153).
“Ketiga-tiga stesen berkenaan menunjukkan bacaan pada tahap tidak sihat berdasarkan pemantauan setakat pukul 8 pagi tadi.
“Bacaan di Besut pula masih berada pada tahap sederhana iaitu 74,” katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.
Hamzah berkata, begitupun, setakat ini, tiada kawasan panas dikesan di seluruh negeri ini.
Beliau menasihatkan agar kegiatan sukan dan program melibatkan orang ramai di kawasan terbuka ditangguhkan manakala semua aktiviti luar bilik darjah murid sekolah dihentikan sementara sebagai langkah pencegahan.
“Orang ramai juga dinasihatkan memastikan pengambilan air mencukupi dan mengelakkan kawasan yang terdedah kepada jerebu.
“Sekiranya mengalami masalah pernafasan atau gejala berkaitan, segera dapatkan pemeriksaan di klinik atau hospital berhampiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE
The post 3 daerah Terengganu catat IPU tidak sihat appeared first on Kosmo Online.





