
SHAH ALAM – Tiga daripada tujuh individu yang diburu polis berhubung kes pergaduhan maut di Taman Alam Megah di sini, berjaya ditangkap polis.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, ketiga-tiga suspek lelaki berusia 20 hingga 40-an ditahan sekitar daerah ini antara 4 hingga 7 September lalu.
“Ketiga-tiga suspek itu akan dituduh dalam masa terdekat, manakala polis masih memburu empat lagi suspek yang terlibat. Kes disiasat mengikut Seksyen 302 dan Seksyen 149 Kanun Keseksaan,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini, hari ini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan polis memburu 10 individu termasuk tujuh suspek yang dipercayai terlibat dalam pergaduhan di Taman Alam Megah itu, selain mengeluarkan lakaran wajah mereka.
Pergaduhan sekumpulan lelaki tersebut bertukar tragedi apabila seorang lelaki maut selepas dilanggar sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Perodua Alza.
Siasatan mendapati perebutan kawasan antara dua kumpulan yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kongsi gelap menjadi punca insiden serangan dan tetakan berkenaan.
Kedua-dua kumpulan itu dipercayai bergiat di sekitar Shah Alam.
Pada 4 September lalu, lapan individu termasuk dua beradik yang menganggotai kumpulan kongsi gelap telah didakwa di Mahkamah Majistret berhubung kes itu. – KOSMO! ONLINE
The post 3 ditangkap, 4 lagi diburu kes gaduh maut Taman Alam Megah appeared first on Kosmo Online.






