Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.

Majlis perkahwinan di antara penyanyi dan pelakon, Bella Astillah dan Ahli Parlimen Muar, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sememangnya menjadi perhatian ramai. Namun, di sebalik kemeriahan dan keindahan majlis tersebut, ada satu momen yang benar-benar menyentuh hati serta meruntun jiwa seluruh tetamu yang hadir.
Bukan sahaja tetamu di dalam dewan yang mengalirkan air mata, malah netizen di media sosial turut sebak menyaksikan ucapan ikhlas daripada anak sulung Bella, iaitu Ayden Adrean.
Artikel berkaitan : Bella Astillah Geli Hati Tengok Hadiah Peminat Bagi Pijama Gambar Syed Saddiq
Artikel berkaitan : “Satu ingatan yang sangat kami hargai” – Bella Astillah & Syed Saddiq Terima Hadiah Perkahwinan Daripada PMX & Dr Wan Azizah
“Saya nampak Mommy menangis…”
Dalam majlis tersebut, Ayden berdiri sambil memegang mikrofon bersama adiknya, Ara Adreanna, telah menyampaikan luahan hatinya yang sangat mendalam buat ibu dan bapa baharunya itu.
Ayden secara terbuka mengakui bahawa dia berasa agak gementar, namun ada sesuatu yang perlu diluahkan dari lubuk hatinya.

Ayden kemudian mengimbau kembali kenangan pahit manis ketika dia masih kecil, di mana dia sering melihat ibunya bersedih dan menangis tanpa benar-benar memahami apa yang sedang berlaku.
“Saya dan Ara, kadang-kadang tak berapa faham dengan semua benda yang berlaku. Saya cuma tahu yang Mommy tengah sedih dan sebagai anak lelaki dia, satu-satunya perkara yang saya mahukan adalah untuk melihat Mommy tersenyum semula.”
Perubahan mula dirasai Ayden sebaik sahaja Syed Saddiq hadir dalam kehidupan ibunya. Luahan gembira Ayden yang melihat ibunya kembali tersenyum dan ketawa mengundang suasana syahdu di seluruh dewan.
“Kemudian, awak (Daddy) hadir dalam hidup dia. Perlahan-lahan, saya mula nampak Mommy lebih banyak tersenyum dan lebih banyak mendengar dia ketawa. Saya nampak Mommy kembali gembira semula.”
Lebih menyentuh hati lagi, Ayden meluahkan rasa syukur kerana Syed Saddiq tidak pernah menganggap mereka sebagai ‘anak tiri’ sebaliknya menerima mereka sekeluarga dengan penuh kasih sayang.
“Awak terima kami seadanya. Awak tak pernah buat kami rasa yang kami ini cuma sekadar anak Mommy saja. Awak buat kami rasa yang kami juga adalah sebahagian daripada keluarga awak. Terima kasih kerana memilih Mommy. Terima kasih kerana menyayangi dia.”

“Mommy, saya sangat sayangkan awak kerana menjaga kami dengan sangat baik.Kepada Daddy, terima kasih menyayangi kami dan Mommy.
“Semoga Allah merahmati perkahwinan Mommy dan Daddy. Saya dan Ara menyayangi kalian berdua, Mommy dan Daddy.”
Momen emosi itu menyaksikan Bella tidak dapat menahan air mata dan beberapa kali mengelap pipinya, manakala Syed Saddiq pula kelihatan sebak dan tersenyum gembira memandang anak-anaknya.
Rata-rata netizen turut mendoakan agar mahligai yang dibina oleh Bella Astillah dan Syed Saddiq kekal bahagia hingga ke jannah bersama anak-anak tercinta.
Sumber: TikTok
Artikel ini diterbitkan dari Lobak Merah.






