
PETALING JAYA – Tiga anggota polis maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik ketika mengait buah kelapa dalam kejadian di Jalan Weston, Kampung Weston, Beaufort, Sabah petang tadi.
Ketiga-tiga mangsa yang meninggal dunia merupakan anggota Balai Polis Weston berusia 26, 29 dan 40 tahun. Mereka terdiri daripada dua koperal dan seorang lans koperal.
Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada pukul 5.56 petang.
Seramai tujuh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort dan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 28 kilometer dari balai berkenaan.
“Sebaik tiba, pihak bomba mendapati terdapat tiga mangsa (anggota polis) terkena renjatan elektrik. Menurut keterangan saksi, mangsa menjolok buah kelapa menggunakan penjolok besi dan terkena kabel elektrik.
“Orang awam melakukan pemadaman menggunakan dua alat pemadam api sebelum pasukan bomba tiba lokasi tersebut,” katanya dalam kenyataan di sini.
Menurutnya, anggota bomba bertindak memasang sawar-sawar dan pasukan Sabah Electricty turut memotong bekalan elektrik di Kawasan kejadian.
“Pasukan bomba dan polis menguruskan mayat ketiga-tiga mangsa untuk tindakan selanjutnya,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE
The post 3 anggota polis maut ketika kait kelapa di Beaufort appeared first on Kosmo Digital.






