
MELAKA: Taktik sindiket penipuan pekerjaan dalam talian yang menyasarkan warganegara China terbongkar selepas polis menahan tiga lelaki warga China dalam serbuan di dua premis berasingan di Melaka Raya di sini, semalam.
Ketiga-tiga suspek berusia antara 29 hingga 37 tahun, ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah kira-kira pukul 12 tengah hari.
Timbalan Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Superintendan Azrul Mohamed berkata, serbuan dilakukan hasil maklumat berkaitan kegiatan sindiket yang dipercayai menjalankan penipuan tawaran pekerjaan dalam talian tidak wujud.
Menurut beliau, pemeriksaan di kedua-dua premis berkenaan membawa kepada rampasan sejumlah barangan dipercayai digunakan bagi menjalankan kegiatan tersebut.
“Antara barangan yang dirampas ialah sebuah komputer riba, 23 telefon bimbit pelbagai jenama, satu set router WiFi, dua buah buku nota dan dua buah rak kayu.
“Melalui penelitian terhadap barangan kes serta hasil soal siasat, suspek dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan tawaran pekerjaan atas talian tidak wujud yang menyasarkan mangsa dalam kalangan warganegara China,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah di sini, hari ini.
Azrul berkata, sindiket berkenaan dipercayai mula beroperasi di Melaka sejak awal bulan lalu dengan kesemua suspek berperanan sebagai pegawai khidmat pelanggan bagi mencari mangsa menerusi aplikasi TikTok.
Katanya, suspek kemudian menawarkan pekerjaan dalam talian kepada mangsa dengan menjanjikan komisen atau keuntungan lumayan hanya melalui pelaksanaan tugasan mudah.
“Mangsa diberikan tugasan seperti menekan tanda ‘like’ pada iklan selain bermain permainan dalam talian, termasuk permainan Aether Swap melalui aplikasi TikTok. Suspek akan meyakinkan mangsa bahawa mereka boleh memperoleh komisen atau keuntungan hasil daripada tugasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, selepas suspek berjaya mendapatkan mangsa yang berminat untuk melaksanakan tugasan, komunikasi akan diambil alih oleh individu lain dalam rangkaian sindiket sama.
Jelasnya, individu berkenaan kemudiannya meneruskan proses memperdaya mangsa sehingga mangsa terpedaya untuk melakukan transaksi kewangan.
“Kesemua suspek dipercayai menerima gaji kira-kira RM3,000 sebulan yang dibayar melalui WeChat Wallet,” katanya.
Azrul berkata, siasatan terhadap ketiga-tiga suspek dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
“Kesemua suspek telah direman bermula hari ini sehingga 14 September ini bagi membantu siasatan lanjut,” katanya. –UTUSAN
The post Tiga warga China ditahan, sindiket penipuan pekerjaan tumpas appeared first on Utusan Malaysia.






